Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TV3 hanya perlu bayar Anwar RM600,000, bukan RM1.1 juta

Presiden PKR Anwar Ibrahim hanya memperoleh sebanyak RM600,000 bagi ganti rugi am dan teruk dan bukannya RM1.1 juta dalam saman fitnahnya terhadap TV3 kerana mengaitkannya dengan pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013.

Ia berikutan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini yang diketuai Hakim Has Zanah Mehat untuk mengurangkan jumlah ganti rugi itu dengan mengetepikan award Mahkamah Tinggi masing-masing RM250,000 bagi ganti rugi teruk dan teladan kepada Ahli Parlimen Port Dickson tersebut.

Hakim Has Zanah telah menggantikan perintah Mahkamah Tinggi dengan jumlah bundar sebanyak RM600,000 bagi ganti rugi am dan teruk.

“Kami membenarkan sebahagian rayuan TV3. Kami mengubah award dalam perintah (Mahkamah Tinggi) bertarikh 14 Mei 2018 dengan mengetepikan award berasingan bagi ganti rugi teladan dan teruk.

Hakim Has Zanah yang mengetuai panel itu bersidang bersama hakim P Ravinthran dan hakim Indera Mohd Sofian Abd Razak, mendengar rayuan TV3 mengenai jumlah ganti rugi itu melalui sidang video. Stesen televisyen itu telah menarik balik rayuannya terhadap liabiliti.

Hakim Has Zanah juga memerintahkan setiap pihak menanggung kos rayuan masing-masing.

Pada 2018, Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan saman fitnah Anwar terhadap TV3 selepas mendapati stesen televisyen itu gagal mengamalkan kewartawanan bertanggungjawab apabila tidak mendapat pengesahan mengenai ketulenan berita itu sebelum menyiarkannya di Buletin Utama pada 2 Mac 2013.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan TV3 dan Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen dan Radio, Media Prima Bhd Shaharudin Abd Latif (ketika itu) membayar RM1.1 juta kepada Anwar iaitu RM600,000 sebagai ganti rugi am dan masing-masing RM250,000 bagi ganti rugi teruk dan teladan.

Selain TV3, Anwar juga menamakan Utusan Melayu dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Abdul Aziz Ishak (ketika itu) sebagai defendan dalam samannya, tetapi pada 5 Okt 2016, Anwar mencapai persetujuan dengan Utusan Melayu untuk menyelesaikan kes itu.

Kesnya terhadap TV3 diteruskan kerana kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian.

Anwar memfailkan saman itu terhadap mereka berhubung artikel bertajuk, Ketua Pembangkang Dikaitkan Dengan Pencerobohan? dan artikel bertajuk, Tiga Kumpulan Menjadi Dalang yang diterbitkan dalam Utusan Malaysia pada 2 Mac 2013.

Dia mendakwa antara lapan malam dan sembilan malam pada hari yang sama, Shaharudin menyiarkan berita mengenai pencerobohan di Lahad Datu, berdasarkan laporan akhbar Utusan Malaysia, di Buletin Utama.

Dalam prosiding rayuan hari ini, TV3 yang diwakili peguam Liew Teck Huat berkata mahkamah sepatutnya memberi award ganti rugi itu kepada Anwar dalam keseluruhan dan bukannya award berasingan bagi ganti rugi am dan ganti rugi teruk.

Peguam J Leela yang mewakili Anwar berhujah bahawa kuantum ganti rugi yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi itu adalah tidak berlebihan berdasarkan beratnya tuduhan fitnah tersebut.

-Bernama


Lihat Komen
ADS