Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Rakan pelaksana projek Transit Aliran Massa 2 (MRT2) menafikan pembinaan stesen Traction Power Substation (TPSS10) di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur membahayakan kawasan kejiranan itu.

Pengurus Am MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd Dr Bhavani Krishna berkata lokasi binaan itu terletak dalam kawasan rizab kereta api atau hak lalu-lalang (right-of-way) MRT.

Dia juga berkata, pembinaan TPSS10 mendapat kelulusan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) serta mengambil kira reka bentuk optimal serta ciri-ciri keselamatan.

“TPSS10 telah direka dengan mengambil kira anjakan bangunan sekelilingnya dan telah diluluskan oleh pihak berkuasa dan bersama skema kereta api (railway scheme) projek pada tahun 2015,” tambahnya.

Bhavani berkata demikian dalam kenyataan kepada Malaysiakini, susulan dakwaan seorang penduduk Michael Onn bahawa pembinaan stesen itu membahayakan kawasan itu, termasuk pelajar yang lalu-lalang.

“TPSS10 ini dikelilingi rumah dan tiga buah sekolah di mana beribu-ribu pelajar akan berjalan melewati TPSS ini setiap hari dan terdedah kepada kemungkinan berlakunya kebocoran elektrik dan radiasi.

“Keluarga kami telah mengalami penyiksaan mental dan fizikal ekoran daripada isu pecah rumah, 9 kali banjir kilat dan renjatan elektrik semasa emak saya ingin membuka pagar rumah.

“Kawasan ini adalah kawasan yang sangat padat.

“Oleh yang demikian, kami sangat meragui Penilaian Impak Lalu-lintas dan Penilaian Impak Alam Sekitar TPSS ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Onn, yang mempunyai dua buah rumah bersebelahan TPSS10 juga mendakwa dia kerugian RM3 juta bagi kedua-dua hartanah itu.

Lihat Komen
ADS