Malaysiakini
BERITA

K'jaan perkenal sistem baru kenal pasti titik panas Covid-19 lebih awal

Hariz Mohd

Diterbitkan

Kerajaan akan menggunakan sistem amaran baru bagi mengenal pasti secara lebih awal kawasan yang berpotensi menjadi kluster Covid-19.

Menteri kabinet Khairy Jamaluddin memberitahu dalam sidang media hari ini bahawa sistem 'Hotspots Identification for Dynamic Engagement' (Hide) akan dapat membuat ramalan jika sesuatu kawasan atau premis itu akan menjadi titik panas penularan.

Perkara itu dapat dilakukan menerusi pengesanan kontak ke depan dan ke belakang yang dipacu oleh analisis data raya dan kecerdasan buatan (AI). 

Kata Khairy, sistem itu dibangunkan oleh kerajaan.

"Susulan peningkatan penularan wabak Covid-19 di Malaysia sejak akhir-akhir ini, sidang Majlis Keselamatan Negara pada 1 Mei telah memutuskan untuk menggunakan sistem amaran awal lebih bersepadu bagi mengenal pasti kawasan atau premis yang berisiko atau berpotensi menjadi hotspot penularan.

"Hide ini menggunakan analisis data raya dan AI, menerusi pengesanan kontak dan membuat ramalan terjadinya sesuatu kluster," kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu hari ini.

Menurutnya, kerajaan akan menyiarkan titik-titik panas berpotensi yang tersenarai di bawah Hide, bagi membolehkan orang awam membuat keputusan berdasarkan maklumat tersedia, termasuk sama ada untuk melawat kawasan itu atau pun tidak, serta untuk mengambil langkah lebih berhati-hati apabila mereka ke situ.

Ia juga akan membolehkan pemilik premis mengambil langkah intervensi, termasuk ujian swab, kuarantin, kerja-kerja sanitasi dan pengawasan lebih ketat di pintu-pintu masuk ke premis mereka.

"Ini akan dapat mengelakkan kerajaan mengambil tindakan drastik seperti pelaksanaan perintah kawalan pergerakan lebih ketat.

"Ini untuk memastikan kita dapat melakukan intervensi bersasar. Pendekatan pintas/dahuluan (pre-emptive measures)," katanya.

Menurut Khairy, setakat semalam, sistem itu telah mengenal pasti 1,660 titik panas Covid-19 yang berpotensi menjadi kluster di seluruh negara - satu peningkatan daripada 1,170 lokasi minggu lepas.

Selain menyenaraikan lokasi berisiko, Hide juga akan menandakan individu-individu yang telah melawati lokasi-lokasi itu sebagai 'kontak kasual'.

Kontak kasual akan menerima notifikasi menerusi MySejahtera dan dinasihatkan untuk memantau keadaan kesihatan mereka secara kendiri dan membuat ujian sekiranya wujud gejala-gejala Covid-19.

Titik buta

Khairy memberitahu pemberita bahawa sistem Hide akan meningkatkan lagi pengesanan kontak yang telah dicapai MySejahtera setakat ini.

Bagaimanapun, penyertaan daripada lebih ramai pemilik premis diperlukan bagi memastikan ia dapat menghasilkan analisis yang tepat.

Katanya, Hide bergantung kepada beberapa pemboleh ubah bagi menganalisis titik panas berisiko, termasuk kes positif Covid-19 yang dikesan di sesuatu lokasi, jumlah masa diperuntukkan kes positif di kawasan itu, keluasan ruang dan tahap pengudaraan.

"Premis-premis yang belum mendaftar MySejahtera patut daftar secepat mungkin, seperti arahan kerajaan. Mereka dikehendaki menyediakan kod QR untuk diimbas pengunjung mereka.

"Kami turut galakkan kawasan perumahan dan bilik-bilik mesyuarat untuk mempunyai kod QR tersendiri, supaya kamicdapat kenal pasti ke mana mereka (pengunjung) pergi.

"Ini akan membolehkan intervensi bersasar (dapat dicapai)," kata Khairy.

Kebanyakan titik panas yang dikenal pasti di Kuala Lumpur dan Selangor setakat ini, adalah di pusat beli belah, premis makanan dan minuman, pasar raya, bazar Ramadan dan premis pejabat.

Disoal mengenai isu privasi, Khairy menegaskan bahawa sebab kerajaan mahu premis tempat tinggal turut mempunyai kod QR adalah memandangkan lonjakan kes positif yang dikesan daripada perhimpunan sosial.

"Kami hanya minta imbas (kod QR MySejahtera) apabila kamu berkunjung (ke mana-mana premis tempat tinggal lain). Kami tak minta kamu imbas bila kamu balik rumah kamu sendiri.

"Ini untuk perhimpunan sosial. Kerana kami dapati antara lokasi Covid-19 tersebar ialah acara-acara sosial," katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.