Malaysiakini
BERITA

Maria Chin mohon Mahkamah Sivil batal prosiding hina Mahkamah Syariah

Hidir Reduan Abdul Rashid

Diterbitkan

Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah memohon kepada Mahkamah Sivil untuk membatalkan prosiding undang-undang terhadapnya di Mahkamah Syariah.

Maria, menerusi pasukan pembelaanya memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Mac tahun ini.

Antara tiga responden yang dinamakan adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Pada 5 September 2019, peguam mewakili Pengerusi Naza Group SM Faisal SM Nasimuddin dilaporkan berkata, pihaknya akan memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Syariah kepada Maria atas tuduhan menghina mahkamah.

Maria dikaitkan dengan tuduhan menghina mahkamah susulan komennya mengenai hukuman penjara tujuh hari di mahkamah syariah yang dikenakan terhadap bekas isteri SM Faisal, Emilia Hanafi.

Sehari sebelum itu (4 September), Mahkamah Syariah telah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia kerana melanggar perintah mahkamah berhubung hak penjagaan ketiga-tiga anak mereka.

Maria mengkritik keputusan mahkamah itu, dengan menyifatkan perundangan Mahkamah Syariah masih mendikriminasikan wanita Muslim.

Faisal dan Emilia bercerai pada tahun 2016 dan Faisal kemudian mendapat hak penjagaan sepenuhnya ke atas tiga anak mereka, Fawwaz, Faiz dan Farhan.

Berdasarkan surat tunjuk sebab permohonan semakan tersebut, Mariah menggesa antara lain perintah dari Mahkamah Sivil, untuk membatalkan keputusan Mahkamah Syariah pada 14 Oktober 2019, yang membenarkan permohonan penghinaan itu diteruskan.

Pada tarikh tersebut, Mahkamah Syariah juga memerintahkan Maria untuk menunjukkan alasan melakukan tuntutan tersebut

Dia kemudian meminta Mahkamah Sivil untuk membatalkan prosiding Mahkamah Syariah yang membenarkan cabaran proses hina mahkamah tersebut, dengan menyatakan ia adalah mala fide kerana melanggar peruntukan Peraturan Mahkamah 2012.

Dia turut menuntut arahan dari Mahkamah Sivil bagi menteri untuk menyuruh Maiwp dan Mahkamah Syariah tidak menghalang hak asasinya dan mematuhi peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Maria kemudian menuntut arahan dari Mahkamah Syariah “kepada responden pertama (menteri) untuk mengarah dan meneliti responden kedua (Maiwp) dan ketiga (Mahkamah Syariah) untuk menyelaraskan Undang-undang Islam dan Undang-undang Persekutuan”.

Dia turut menuntut mahkamah memberi “satu pengisytiharaan bahawa prosiding permohonan bagi ex parte dan surat tunjuk sebab okeh Mahkamah Syariah adalah pelanggaran kuasa perundangan, susulan kertas tunjuk sebab tidak diserahkan (permohonan semakan) pemohonn (Maria)”.

Maria kemudian menuntut Mahkamah Sivil untuk menggantung prosiding hina mahkamah di Mahkamah Syariah, sehingga selesai permohonan semakan kehakiman.

Selain itu, dia juga menuntut pampasan susulan kerosakan reputasi dan nama baik ekoran prosiding dari Mahkamah Syariah.

Ketika ditemui oleh media di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini, peguam Maria, Rosli Dahlan mengesahkan permohonan semakan kehakiman tersebut.

Tambahnya, Hakim Mahkamah Sivil Noorin Badaruddin telah menetapkan 31 Mei bagi perbicaraan semakan kehakiman tersebut sejurus permohonan SM Faisal untuk mencelah.

Hari ini merupakan pengurusan kes tersebut.

Peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hanbaly @ Arwi mewakili menteri, manakala peguam Akberdin Abdul Kader mewakili SM Faisal.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.