Kehadiran semakin ramai orang luar yang memiliki rumah mewah di Pulau Duyong, Terengganu menyebabkan penduduk pulau tersebut, mula bimbang mereka akan terpinggirkan.

Perkara itu dibangkitkan oleh Ketua Umno Kampung Duyong Besar, Salim Yunus. Menurutnya, pertandingan perahu layar 'Monsoon Cup' belum lagi memberi sebarang manfaat kepada penduduk setempat.

"Orang Duyong tidak dapat apa-apa. Kita tengok sahaja orang kaya buat rumah besar...semuanya orang yang saya tidak kenal.

"Bulan 11 (November) kami ramai-ramai pakat pergi tengok pertandingan perahu layar 'Monsoon Cup' di muara Sungai Terengganu tidak jauh dari Kampung Duyong.

"Wakil rakyat dan orang kerajaan suruh orang kampung keluar ramai-ramai pergi tengok kapal layar yang besar-besar datang berlumba di Terengganu.

"Dari segi ekonomi penduduk kampung tidak mendapat apa-apa. Mungkin ada seorang dua yang membuka gerai keropok dan air tebu untuk dijual kepada penonton Monsoon Cup," katanya kepada malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Projek 'Moonsoon Cup'

Beliau ditanya sama ada projek pembangunan besar-besaran Pulau Duyong dan kawasan sekitarnya akan memberi faedah kepada penduduk pulau itu.

Pulau Duyong menjadi lokasi utama pertandingan kapal layar 'Monsoon Cup' yang diserta para pelumba handalan dari seluruh dunia. Projek itu turut membabitkan pembinaan prasarana termasuk chalet dan jeti, yang menelan belanja RM200 juta.

Projek Chalet dan pertandingan 'Monsoon Cup' dikendalikan oleh syarikat Equine Capital Berhad milik ahli perniagaan hartanah yang antara terbesar di negara ini, Datuk Patrick Lim (foto).

Menurut Salim, aktviti harian penduduk Pulau Duyong berjalan seperti biasa walaupun penduduk diberitahu bahawa lebih banyak projek pembangunan akan dibawa ke pulau tersebut.

"Projek apa? Kalau ada projek lagi kita mahu orang kampung ini (Pulau Duyong) diberi keutamaan. Biar kami juga merasanya," katanya lagi.

'Letupan' ekonomi

Bagaimanapun, katanya, penduduk Pulau Duyong tidak mendapat apa-apa jika mengharapkan kepada 'Monsoon Cup' semata-mata.

Katanya, jika lebih banyak aktiviti diadakan, penduduk boleh membina rumah kecil untuk disewa kepada pelancong luar.

Ketua Umno Kampung Pulau Duyong Kecil, Mohamad Ngah pula berkata, kerajaan perlu memastikan projek 'Monsoon Cup' dan pembangunan kawasan sekitar memberi faedah kepada rakyat.

Katanya, pada masa ini hanya projek kecil-kecilan yang dinikmati oleh oleh penduduk Pulau Duyong.

"Dengan adanya chalet, ramai penduduk Pulau Duyong dapat bekerja di chalet tersebut. Ada juga yang menjual barangan kraftangan kepada pelancong," katanya.

Bagaimanapun, katanya dengan pelaburan ratusan juta di kawasan itu, penduduk mengharapkan `letupan' ekonomi akan berlaku di Pulau Duyong.

Kampung Pulau Duyong Kecil merupakan pusat membuat bot tradisional.