Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pajakan tanah: Peneroka ladang gesa MB maklumkan perkembangan terkini

Selepas sebulan kerajaan Selangor berjanji untuk mengadakan siasatan dalaman berkaitan isu pajakan tanah di Ladang Tennamaram, Bestari Jaya, penerokanya hari ini meminta Menteri Besar Amirudin Shari memberikan penjelasan status terkininya.

Ia selepas lebih 100 peneroka mengadakan protes dan menuntut jawapan daripada kerajaan negeri berhubung pajakan yang diberikan kepada dua syarikat swasta untuk menjalankan kerja-kerja di ladang tersebut baru-baru ini.

"Sudah hampir sebulan kerajaan negeri berjanji untuk mengadakan siasatan dalaman. Namun, sehingga kini kami tidak menerima apa-apa maklumat.

"Kami mahu menteri besar menyatakan status terkini siasatan isu tanah tersebut," kata Bakar Yusoof, wakil peneroka terbabit kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Bakar, 52 yang mengusahakan tanah di situ sejak lebih 30 tahun mendakwa dua syarikat swasta terbabit masih menjalankan kerja-kerja di ladang di sebalik janji kerajaan Selangor.

"Sekiranya, hendak jalankan siasatan dalaman segala kerja di sana perlu dihentikan.

"Bagaimana dua syarikat masih boleh beroperasi sedangkan kerajaan negeri mendakwa kononnya sedang menyiasat isu ini?" soalnya.

Untuk rekod, pada 7 April lalu peneroka Ladang Tennamaram bersama Ahli Parlimen Tanjung Karang Noh Omar, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara Kumar Ramanaidu dan ahli-ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengadakan protes selepas kecewa dengan tindakan kerajaan memberikan tanah tersebut kepada dua syarikat swasta.

Noh yang juga Pengerusi Umno Selangor mendakwa kerajaan negeri memberi pajakan selama 21 tahun kepada dua syarikat swasta yang baru ditubuhkan untuk menjalankan kerja-kerja pertanian di kawasan tanah tersebut.

Noh mendakwa syarikat tersebut ditubuhkan pada Julai 2018, hanya dua bulan sebelum mereka diberi pajakan oleh kerajaan negeri Selangor.

Dia menambah bahawa kedua-dua syarikat dimiliki orang yang sama dan juga didaftar alamat yang sama.

Ekoran protes itu, pada 9 April Setiausaha Politik Amirudin, Juwariya Zulkifli membuat kenyataan bahawa kerajaan negeri mengambil serius tuduhan berkaitan isu tanah tersebut.

Dia turut berkata bahawa satu siasatan dalaman dan semakan terperinci sedang dijalankan oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor.

Sementara itu, seorang lagi peneroka Logarajan Raman, 59, mendesak Amirudin menjelaskan bagaimana tanah itu boleh dipajakkan tanpa pengetahuan kerajaan negeri.

Katanya sejak 20008 semua tanah milik Selangor yang ingin dijual atau dipajak mestilah mendapat persetujuan majlis exco kerajaan negeri.

"Jadi, siapa dalang di sini? Bagaimana ia boleh dipajakkan tanpa pengetahuan menteri besar?

"Kami mahu kerajaan negeri segera memberi maklum balas kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh peneroka," tambahnya.

Lihat Komen
ADS