Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rentas negeri, daerah perlu dapat kebenaran polis
Diterbitkan:  May 8, 2021 9:01 PM
Dikemaskini: 3:00 PM

Semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran pihak PDRM "di seluruh negara tidak dibenarkan untuk tempoh empat minggu," maklum Menteri Kanan (Kluster Keselamatam) Ismail Sabri Yaakob.

Jelasnya, arahan ini berkuatkuasa dari 10 Mei 2021 hingga 6 Jun 2021.

Selain itu, kata Ismail Sabri semua aktiviti seperti berikut juga adalah tidak dibenarkan untuk tempoh empat minggu berkuatkuasa dari 10 Mei 2021 hingga 6 Jun 2021:

"Antaranya: Aktiviti sosial termasuk majlis-majlis kenduri, perkahwinan, keraian dan lain-lain; aktiviti pendidikan dan aktiviti ekonomi yang boleh menyebabkan perhimpunan atau kesesakan awam.

"Majlis rasmi dan sosial secara bersemuka oleh kerajaan dan swasta," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Jelas Ismail yang juga menteri pertahanan, keputusan sekatan ini akan disemak semula selepas dua minggu.

Bagaimanapun, pegawai Kementerian Pertahanan kemudian menjelaskan individu yang perlu merentas daerah atas faktor kerja, tidak memerlukan permit atau kebenaran polis, sebaliknya memadai dengan mengemukakan surat pengesahan syarikat. 

Bazar Ramadan tersenarai sistem Hide tutup 3 hari

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata premis termasuk Bazar Ramadan yang tersenarai dalam sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (Hide),  akan diarahkan ditutup selama tiga hari berkuat kuasa serta merta.

Ini katanya kerana premis tersenarai dalam Hide dikenal pasti sebagai lokasi berisiko kepada penularan kes Covid-19.

Katanya, aktiviti penguatkuasaan bagi semua premis akan dipantau oleh Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Pihak Berkuasa Tempatan.

“Kerajaan juga ingin memaklumkan, semua Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditutup bermula Isnin ini,” katanya.

Sistem Hide, dibangunkan bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kesihatan, bertujuan memberi amaran awal dalam mencegah peningkatan jangkitan Covid-19, dengan menggunakan data daripada aplikasi MySejahtera.

Terdahulu, kerajaan telah menerbitkan senarai Hide pertama premis perniagaan yang dikenal pasti sebagai titik panas Covid-19, yang berpotensi mendatangkan risiko penularan wabak tersebut.

Sementara itu, kegiatan sukan dan riadah individu dan tidak bersentuhan fizikal dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter yang dijalankan di kawasan terbuka dibenarkan.

“Pada ketika ini, kerajaan sentiasa meneliti prosdur operasi standard (SOP) dan sekiranya berlaku pertambahan kes harian, maka kerajaan akan mendapatkan nasihat dan juga penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membolehkan SOP itu diperketatkan,” katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS