Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tunggu hasil rayuan kompaun RM50,000, peniaga colek tak buat persiapan raya

Kerisauan peniaga colek yang dikompaun RM50,000, baru-baru ini, masih belum reda kerana tiada perkembangan membabitkan rayuan jumlah kompaun serta masih menunggu dipanggil pihak berkuasa untuk rundingan.

Mohd Azizi Mohd Nor, 42, salah seorang daripada tiga peniaga yang sebelum ini menjadi tumpuan media selepas dikenakan kompaun RM50,000 itu melahirkan perasaan sebak dan pilu apabila ditanya mengenai persiapan bagi menyambut ketibaan Aidilfitri tahun ini.

Katanya, dia dan isteri tidak membuat sebarang persiapan raya atas sebab masalah kewangan dan mereka tidak dapat berniaga selepas dikompaun pada 25 April lalu.

“Saya dan isteri mengambil keputusan untuk tidak berniaga buat sementara waktu kerana masih bimbang dengan masalah kompaun ini.

“Dalam persiapan raya, saya sebak, saya tak boleh nak cerita. Persiapan raya tak buat langsung. Mungkin setakat termampu sahaja dan makan mana yang ada.

“Anak-anak tidak meminta apa-apa seolah-olah memahami keadaan sekarang. Anak anak yang besar dia faham, cuma yang kecil-kecil ni, macam yang 5 tahun ni saya beli la sikit persiapan raya hasil sumbangan orang,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Malaysiakini pada 29 April lalu melaporkan Mohd Azizi dan isterinya, Nik Norwati Nik Loh, dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi lebih masa dalam tempoh PKP. 

 

Susulan itu mereka mengemukan rayuan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dengan harapan agar kompaun tersebut dikurangkan dengan jumlah denda paling minimum.

Terdahulu, mengulas isu itu Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat berkata tiga peniaga yang dikenakan kompaun RM50,000 akan dipertimbangkan untuk dikurangkan jumlah kompaun mengikut garis panduan penetapan nilai tawaran kompaun yang ditetapkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. 

Sementara itu, Mohd Azizi yang juga bapa kepada lima anak yang masih bersekolah itu berkata, persiapan raya tahun ini berbeza berbanding tahun sebelumnya.

“Tahun lepas persiapan boleh dibuat sebab tiada masalah. Baju bolehlah kami sediakan, tapi tahun ini, kami reda dengan masalah yang menimpa.

“Kalau baju raya tu, kami hanya guna yang sedia ada sahaja. Sebab, bukan nak suka ria sangat kerana kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

 

Mengulas tentang perkembangan kompaun tersebut, Mohd Azizi menyatakan beberapa pegawai datang ke kedainya untuk melihat keadaan kedai.

“Saya masih bimbang dengan masalah kompaun ini sebab saya orang tak mampu.

“Hari Sabtu dua minggu lepas, ada pegawai datang untuk melihat kedai saya dan mengambil gambar. Mereka ada bertanya tentang kesusahan yang saya hadapi, mungkin untuk selidik lanjut bagi perbincangan pengurangan kompaun itu.

“Sebab hari itu, ada pengumuman ketua polis Kelantan akan panggil untuk bincang isu ini. Jadi, saya masih menunggu untuk perbincangan ini," jelasnya.

Lihat Komen
ADS