Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
1MDB, SRC fail saman tuntut AS$23b dari individu, entiti
Diterbitkan:  May 10, 2021 2:09 PM
Dikemaskini: 6:09 AM

1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd telah memfailkan saman sivil terhadap beberapa personaliti yang telah dididakwa menipu firma milik negara itu.

Mereka juga menyaman entiti yang mungkin tidak melakukan penipuan tetapi terlibat dalam proses itu - secara sedar atau tidak.

Saman itu difailkan pada Jumaat lalu melalui tiga firma undang-undang, iaitu Rosli Dahlan Saravana Partnership (RDS), Skrine & Co dan Lim Chee Wee Partnership, lapor The Edge Markets.

Saman berkenaan menuntut sekitar AS$ 23 bilion daripada responden.

Antara yang dinamakan termasuk bekas perdana menteri Najib Razak, bekas pengerusi 1MDB, Che Lodin Wok Kamaruddin dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Mohd Hazem Abdul Rahman dan Arul Kanda Kandasamy.

Beberapa ahli keluarga ahli perniagaan, Low Taek Jho juga dinamakan, termasuk ayahnya Larry Low Hock Peng dan kakaknya Low May Lin. Rakan sekerjanya Eric Tan Kim Loong dan Tarek Obaid, yang juga pengasas PetroSaudi International Ltd, juga dinamakan.

Beberapa entiti yang dinamakan ialah Deutsche Bank (Malaysia) Ltd serta Coutts & Co Ltd yang berpangkalan di Switzerland dan JP Morgan (Switzerland) Ltd.

Laporan itu, yang memetik sumber yang tahu mengenai saman berkenaan, mengatakan kes jenayah dalam skandal 1MDB berjalan terlalu perlahan dan saman sivil itu menunjukkan kesungguhan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam isu tersebut.

Najib pada 27 Julai tahun lalu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana penyalahgunaan kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Najib membuat rayuan kes berkenaan di Mahkamah Rayuan. Tuduhan berkaitan 1MDB masih berlangsung di Mahkamah Tinggi.

Lihat Komen
ADS