Most Read
Most Commented
Read more like this

rencana

Pergerakan buruh adalah asas kekuatan gerakan demokrasi dan kemerdekaan di kebanyakan negara dunia ketiga dalam era anti-penjajahan - dari perang dunia pertama hinggalah ke tahun 70-an.

Gerakan buruh di Malaya dan Singapura juga tidak ketinggalan dalam menentang penjajah bagi menuntut kemerdekaan serta keadilan sosial bagi kaum miskin yang tertindas ketika itu.

Justeru itu, penglibatan gerakan buruh dalam politik ataupun gerakan reformasi bagi menuntut transformasi politik dan ekonomi, bukanlah suatu yang baru dalam sejarah moden politik Malaysia. Malah, ia merupakan satu tradisi politik buruh yang progresif, tidak bersifat perkauman serta mencorak tunjang demokrasi rakyat yang sedang berkembang di tanahair.

Gerakan buruh di Malaya dan Singapura mula bangun menuntut hak pekerja sejak penjajahan British pada awal tahun 30-an.

Penindasan penjajah serta kapitalis penjajah ke atas kaum petani, buruh dan rakyat jelata yang miskin telah membangkitkan semangat mempertahankan hak asasi sosial dan ekonomi mereka.

Banyak aksi massa dan mogok berlaku ketika itu di sektor perladangan, perlombongan, pengangkutan dan sektor yang diterajui semua kaum buruh, yang majoriti kaum Cina dan India. Namun, gerakan buruh menentang penindasan ini menjurus ke arah kesedaran politik patriotik menentang kezaliman penjajah.

Pada zaman itu, banyak kesatuan sekerja yang bersifat progresif dan demokratik ditubuhkan dan aktif bersama gerakan demokratik politik yang lain seperti Tentera Rakyat Malaya Anti-Jepun dan lain-lain yang menentang penjajahan British dan Jepun.

Antara kesatuan sekerja yang paling radikal ialah General Labour Union atau Kesatuan Buruh Am (GLU) yang diharamkan penjajah British apabila darurat bermula pada 1948 kerana sikap militan kesatuan sekerja itu dalam menuntut hak buruh serta kemerdekaan.

Anasir subversif

GLU didakwa sebagai 'anasir subversif" dan kerajaan British menyebarkan propaganda politik perkauman di kalangan kaum bumiputera supaya menganggap gerakan yang membabitkan kaum Cina berfikiran komunis, ganas dan anti-Melayu.

Ini kerana kepimpiman Tentera Rakyat Malaya Anti-Jepun, GLU dan golongan patriotik yang lain yang dianggotai pelbagai kaum dan mendapat sokongan kuat majoriti masa, telah mencabar kuasa penjajah di Malaya dan Singapura.

Penjajah hanya ingin bersekongkol dengan kelompok feudal serta elit tempatan yang boleh membantunya terus meraih sumber alam dan mengeksploit tenaga manusia untuk kepentingan British dan Jepun.

Sejak itulah gerakan kesatuan sekerja dicantas secara terbuka di mana undang-undang buruh dan kesatuan kerja yang ketat digubal untuk menyekat kesatuan sekerja daripada terlibat dalam hal-ehwal politik. Mereka hanya dibenarkan bergerak atas isu ekonomi kaum buruh.

Selain itu, kesatuan sekerja yang bersifat pro-penjajah pula digalakkan penubuhannya dan diterajui oleh kepimipinn yang dikatakan "bertanggungjawab' yang tidak melancarkan mogok dan mempersoalkan isu-isu politik. Gerakan kesatuan sekerja hanya menjadi satu pertubuhan kebajikan sosial bagi kaum buruh.

Walaupun menghadapi tekanan kerajaan yang bersifat anti-pekerja , kesatuan pekerja masih terus wujud selepas mencapai kemerdekaan, antaranya Kesatuan Federasi Pekerja-Pekerja Am dan Perkilangan (Ringkasnya, Federasi Kesatuan Pekerja Umum) atau NUGFW. Kaum pekerja dalam pelbagai jenis pekerjaan dan industri menyertai kesatuan sekerja ini yang ditubuhkan pada Oktober 1955.

Kesatuan pekerja diharamkan

Kesatuan pekerja gabungan NUGFW amat berkesan dalam memimpin kaum pekerja melancarkan mogok dan membantah tindakan majikan mengeksploit pekerja sehingga menimbulkan kebimbangan di pihak pemerintah.

Justeru itu, pihak pemerintah telah menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan ramai pemimpin semua kesatuan pekerja. Kesatuan-kesatuan pekerja ini akhirnya diharamkan.

Kerajaan seterusnya mengharamkan banyak persatuan murid tua sekolah menengah aliran bahasa Cina. Pada hemat pemerintah, kaum pekerja dan intelek merupakan satu kuasa yang mampu mengugat kepentingan mereka.

Setelah kesatuan pekerja berkenaan diharamkan, mereka menyertai Parti Buruh Malaya secara beramai-ramai, untuk melanjutkan objektif perjuangan yang mereka cita-citakan.

Namun begitu, pembubaran NUGFW turut memecah-belahkan kekuatan perjuangan kaum. Dan ini mendorong tertubuhnya beberapa kesatuan nasional lain, antaranya Federasi Kebangsaan Kesatuan Pekerja Industri Pembuatan Kasut, Federasi Kebangsaan Kesatuan Pekerja Industri Perubatan dan Federasi Kebangsaan Kesatuan Pekerja Industri Pengangkutan.

Namun, ada antaranya diharamkan dan penangkapan besar-besaran di bawah ISA dilancarkan ke atas aktivis kesatuan sekerja ini pada tahun 1970.

Ramai kepimpinan kesatuan sekerja dan buruh ditahan di bawah ISA selama bertahun-tahun. ISA diguna sejak pemerintahan penjajah British sehingga kepada pemerintahan Perikatan selepas kemerdekaan.

Justeru itu, dengan ketiadaan gerakan reformasi politik kaum buruh, gerakan demokrasi terbantut dan kepentingan ekonomi kroni pihak pemerintah akan kekal di tangan segelintir kecil elit politik.

Oleh itu, imej kaum buruh kini kelihatan hanyalah sebagai "sumber manusia" untuk mengeluarkan barangan untuk pasaran dan kepentingan keuntungan yang dikehendaki oleh pihak majikan serta pemerintah yang pro-majikan. Hak pekerja hanyalah satu mitos kerana mereka tiada kuasa politik untuk mempertahankan maruah dan status sosio-ekonomi mereka sendiri.

Kesan yang paling jelas ialah kaum buruh boleh dipecat apabila keuntungan majikan tergugat sewaktu krisis ekonomi, tetapi, krisis kehidupan kaum buruh pula harus ditanggung sendiri. Malah kerajaan yang dilihat hanya menyelamatkan syarikat kroninya yang bersifat gergasi, tetapi tidak sanggup menubuhkan tabung keselamatan sosial dan penggangguran untuk membantu kaum buruh yang kehilangan kerja.

Halatuju dalam era reformasi

Kita nampak arus reformasi politik sedang bergerak maju sejak 1998. Namun suara kaum buruh masih terpendam dan lemah. Oleh itu, langkah pertamanya ialah mengemblingkan kaum buruh di dalam gerakan kesatuan pekerja yang progresif, demokratik dan berautonomi, serta berdamping dengan perjuangan reformasi politik negara sekarang.

Keduanya, kesatuan pekerja harus tegas menetap dan mengutarakan agenda-agenda perubahan bagi kaum buruh.

Ini harus dijadikan agenda utama untuk memastikan tuntutan demokrasi yang diperjuangkan oleh pembangkang juga membabitkan trasformasi masyarakat yang benar-benar adil demi kepentingan majoriti rakyat bawahan.

Ketiganya, kaum buruh seharusnya membuat pendirian politik yang jelas terhadap gerakan reformasi demokrasi dan halatuju reformasi yang patut digerakkan sekarang.

Dengan adanya kuasa pemerintah yang bersifat demokratik, kaum buruh dan kesatuan pekerja dapat menikmati hak penubuhan kesatuan pekerja yang demokratik, progresif dan berautonomi yang benar-benar dapat menjaga kepentingan kaum buruh. Tradisi reformasi demokratik dan progresif buruh harus ditegakkan semula agar suara dan tuntutan mereka akan kedengaran.


Rosa Lee adalah seorang aktivis yang memperjuangkan nasib kaum buruh dan isu-isu keadilan. Beliau juga aktif sebagai penulis sejarah dan pendidik.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS