mk-logo
Berita
Tiada SOP tetap, pemain industri perkapalan keliru

Pemain industri mengakui masih keliru berhubung prosedur operasi standard (SOP) untuk sektor perkapalan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) .

Ahli perniagaan Jeyenderan Ramasamy, 46 mendakwa tiada SOP tetap bag industri perkapalan sejak PKP dikuatkuasa pada Mac tahun lepas.

"Saya sebagai wakil pihak pemain industri perkapalan meminta Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pengangkutan agar segera menetapkan SOP bagi industri perkapalan.

"Ramai di antara kami berasa keliru dengan surat pekeliling bercanggah ketika berurusan dengan pihak yang berbeza yang kesemuanya berkaitan dengan sektor perkapalan," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Jeyendran memberitahu menerima laporan daripada firma perkapalan lain mendakwa pegawai KKM di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor Bahru tidak membenarkan inspektor kargo dan ejen naik memeriksa kapal dari India.

Menurutnya, larangan oleh pelabuhan itu bercanggah dengan prosedur yang ditetapkan Jabatan Laut Malaysia (JLM).

"Surat pekeliling JLM kata, bahawa inspektor kargo dan ejen tidak dilarang menaiki kapal dari India.

"Tapi, pegawai KKM di pelabuhan itu kata lain. Jadi, siapa yang betul di sini?" soal dia.

Untuk rekod, inspektor dan ejen kargo bekerja untuk syarikat perkapalan yang berfungsi sebagai pegawai pematuhan.

Inspektor kargo ialah individu yang menjalankan operasi pemeriksaan kargo di atas kapal, manakala, ejen pula ialah pihak mendapat kebenaran deklarasi (inward dan outward) daripada kastam.

"Malaysia tidak boleh meletakkan syarat-syarat sebegini ke atas kapal dari India. India adalah pengimport utama minyak sawit.

"Syarat-syarat sebegini akan merugikan Malaysia beratus ribu juta (ringgit).

"Kami harap kerajaan khususnya KKM dan Kementerian Pengangkutan segera adakan perbincangan dengan pemain industri dan pihak lain yang berkepentingan agar menetapkan satu prosedur untuk seluruh pelabuhan di Malaysia," katanya.

Untuk rekod, data bulan Mac daripada kumpulan perdagangan yang berpangkalan di Mumbai, Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) menunjukkan India mengimport sejumlah 270,195 tan minyak sawit mentah (MSM), 1,500 tan olein sawit RBD dan 11,082 tan minyak isirong sawit mentah (CKOP) dari Malaysia pada Mac lalu.

Lihat Komen
ADS