Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKP 3.0 dijangka jejaskan ekonomi negara RM300 juta sehari
Diterbitkan:  May 11, 2021 3:38 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) yang kini dikuatkuasakan di beberapa kawasan di negara ini mulai 12 Mei hingga 7 Jun ini dijangka menjejaskan ekonomi Malaysia sebanyak RM300 juta setiap hari.

Public Investment Bank Bhd (PIVB) berkata PKP 1.0 (18 Mac-3 Mei 2020) dianggarkan menelan belanja sebanyak RM2 bilion sehari, manakala PKP 2.0 (13-26 Jan 2021) sejumlah RM300 juta sehari.

"Secara lebih kurang, PKP 3.0 juga dijangka menelan kos kira-kira RM300 juta sehari kepada ekonomi, terutamanya daripada sekatan terhadap perniagaan sensitif sentuhan yang kemudiannya akan memberi kesan ke atas sektor perkhidmatan," katanya dalam satu nota hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membayangkan potensi bencana ke atas negara ini jika langkah tersebut tidak diambil menjelaskan semalam bahawa langkah-langkah yang lebih drastik terpaksa diambil memandangkan kemunculan varian baharu dan kadar jangkitan yang lebih tinggi disebabkan ketidakpatuhan Prosedur Operasi Standard.

PIVB berkata walaupun tidak sewajarnya ada kepanikan disebabkan majoriti sektor ekonomi akan terus kekal terbuka, bagaimanapun, langkah-langkah pemulihan ini yang dibuat secara berkala, tetap memberi kesan ke atas sentimen dan ini mungkin menjejaskan sektor perkhidmatan dominan pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Kami bimbang jika pemulihan dalam pasaran buruh mungkin tersasar akibat PKP yang berterusan dan menyebabkan jerutan ke atas perniagaan, manakala, kerajaan juga mungkin sukar untuk terus menyokong isi rumah dan perniagaan tanpa menebuk belanjawannya sekiranya keadaan ini berterusan," katanya.

Bank pelaburan itu juga menyatakan bahawa ia sentiasa berhati-hati jika kemungkinan pandemik ini mampu menghentikan pemulihan di pasaran.

"Sentimen pasaran telah bertambah baik pada akhir tahun lepas dengan pelancaran pertama vaksin Covid-19, bagaimanapun, keterujaan ini terkubur apabila kes Covid-19 global tetap melonjak dan kadar vaksinasi dalam negara yang agak lembap," katanya.

PIVB ketika mengulas mengenai pasaran ekuiti berkata walaupun pasaran kekal berorientasikan perdagangan dengan jangkaan ayunan yang tidak menentu, ia telah menurunkan sasaran penutupan FBM KLCI akhir 2021 kepada 1,690 mata pada 16 kali ganda kepada pendapatan satu tahun ke hadapan berdasarkan peningkatan premium risiko.

Sebelum ini, sasaran FBM KLCI untuk akhir 2021 adalah pada 1,75 -mata pada 16.5x kepada pendapatan setahun ke hadapan.

Sementara itu, PIVB juga mengekalkan pendirian "terlebih beli" ke atas sektor pembuatan, teknologi, pengguna, minyak dan gas, permainan serta sarung tangan getah, kerana ia tidak melihat sebarang perubahan ke atas asas-asas kisah pemulihan buat masa ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS