mk-logo
Berita
Sultan Kedah: Kalimah Allah hak eksklusif umat Islam
Diterbitkan:  May 12, 2021 6:08 PM
Dikemaskini: 1:05 PM

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini bertitah kalimah Allah adalah hak eksklusif untuk umat Islam.

Baginda sultan bertitah, orang bukan Islam dilarang menggunakan kalimah itu kecuali untuk tujuan yang bukan menyekutukan Allah dengan apa juga ciptaan-Nya.

"Kalimah Allah adalah nama khas kepada Allah (Tuhan Yang Maha Esa), Allah yang tidak melahirkan dan tidak dilahirkan. Allah menamakan diri-Nya dengan nama Allah dan Allah ini hanya disembah dengan sebenarnya oleh umat Islam sahaja.

"Orang bukan Islam sama sekali tidak dibenarkan menggunakan kalimah suci ini kecuali untuk tujuan-tujuan yang bukan untuk menyekutukan Allah dengan apa-apa juga ciptaan-Nya," titah baginda.

"Demi meneruskan kesinambungan keharmonian sejagat, tanpa mengira agama dan bangsa, setiap lapisan rakyat di Negeri Kedah Darul Aman yang diwarisi sejak zaman berzaman, Beta menyeru seluruh anak negeri bumi bertuah ini agar segera berhenti daripada berbahas dan berdebat apatah lagi mengusik kesucian kalimah Allah seperti yang telah dikanunkan mengikut hukum Syarak dan undang undang yang sedang berkuat kuasa di Negeri Kedah Darul Aman.

"Perlu diingat, jika isu kalimah Allah ini tidak ditangani dengan penuh berhati-hati di bawah suluhan wahyu dan kedaulatan undang-undang Beta amat bimbang dipenghujungnya seluruh manusia akan terperangkap dalam pertikaman lidah dan permusuhan yang tiada berkesudahan yang akhirnya boleh menggugat kerukunan hidup dan kestabilan negeri dan negara," titah baginda lagi.

"Sekali lagi Beta ingatkan bahawa sebagai Ketua Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman, semua pihak hendaklah akur dan taat akan titah Beta ini demi memelihara kesucian kalimah Allah dan ketenteraman awam," titah Sultan Kedah yang disiarkan di laman media sosial Kerajaan Kedah hari ini.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa kerajaan telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah "Allah" pada tahun 1986 kepada masyarakat bukan Islam.

Justeru, mahkamah sama memutuskan seorang wanita Kristian keturunan Melanau, Jill Ireland berhak menggunakan kalimah "Allah" untuk tujuan keagamaan dan pendidikan.

Kerajaan Persekutuan pada 15 Mac lalu pula mengemukakan rayuan mengenai hak menggunakan kalimah Allah di kalangan masyarakat bukan beragama Islam dan permohonan itu kini ke peringkat Mahkamah Rayuan.

ADS