Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
P Pinang benar solat sunat Aidilfitri secara bergilir
Diterbitkan:  May 12, 2021 7:15 PM
Dikemaskini: 11:15 AM

Solat Aidilfitri di Pulau Pinang akan dibuat secara penggiliran sebagai pilihan dan alternatif kepada pihak masjid atau surau di negeri itu, dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, ia bagi membolehkan lebih ramai jemaah menunaikan solat sunat itu.

“Namun, pihak masjid serta surau perlu mematuhi syarat-syarat ditetapkan antaranya kehadiran hanya 50 orang sahaja bagi masjid dan 20 orang bagi surau mengikut SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi setiap sesi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata sesi pertama bermula pada 8.30 hingga 9.15 pagi, diikuti 9.45 hingga 10.30 pagi (sesi kedua) dan 11 hingga 11.45 pagi (sesi ketiga), dengan proses sanitasi akan dilakukan sebelum setiap sesi solat bermula.

Sementara di Terengganu, solat sunat Aidilfiti di masjid dan surau di seluruh negeri itu dibenarkan dengan kehadiran 40 jemaah lelaki sahaja, tidak termasuk ahli jawatankuasanya.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu Datuk Osman Muda dalam kenyataan berkata, jumlah sama juga dibenarkan untuk solat Jumaat sepanjang tempoh PKP dilaksanakan bermula hari ini hingga 7 Jun, manakala aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan tidak dibenarkan.

Di Melaka, solat sunat Aidilfitri hanya dibenar dilaksanakan di masjid dan surau yang diberi kebenaran solat Jumaat, serta surau yang mendapat kebenaran khas dengan jawatankuasa masjid atau surau berkenaan perlu melantik petugas bagi memastikan pematuhan SOP.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat berkata, takbir Aidilfitri secara berkumpulan di masjid dan surau dibenarkan pada masa yang ditetapkan iaitu selepas solat Maghrib dan Isyak pada malam 1 Syawal, selepas solat Subuh 1 Syawal dan sebelum pelaksanaan solat sunat Aidilfitri.

Di Labuan, Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Labuan Rithuan Ismail berkata solat sunat Aidilfitri, Jumaat dan solat fardu, dibenarkan dengan bilangan jemaah separuh daripada kapasiti sebenar masjid dan surau.

Selain itu, katanya bagi ziarah kubur pula hanya enam orang dibenarkan bagi satu petak kubur pada satu-satu masa.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, penetapan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah di peringkat persekutuan bertujuan, mengelak pelanggaran SOP dan aktiviti berkumpul khususnya selepas solat.

Bagaimanapun, katanya pihak berkuasa agama negeri boleh membuat pengubahsuaian termasuk mengadakan solat secara penggiliran, sekiranya pihak berkenaan dapat memastikan pematuhan menyeluruh SOP bagi mengelak kluster keagamaan.

“Secara umumnya kalau dilihat jemaah yang masuk ke masjid atau surau mereka mematuhi SOP termasuk penjarakan fizikal, tetapi apabila selesai solat pematuhan SOP agak kurang. Jadi, SOP bagi kehadiran ke masjid atau surau dalam PKP 3.0 ini dibuat bagi mengelak penularan wabak Covid-19 yang kini mencatat angka membimbangkan,” katanya ketika ditemubual dalam program Malaysia Petang Ini di Bernama TV.

- Bernama

Lihat Komen
ADS