Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Wehh tolong aku. Tahun lepas rugi, takkan tahun ni kena rugi lagi’

Mimpi buruk seorang petani muda berulang apabila tanaman tembikainya yang baru dikutip dalam tempoh lima hari tidak dapat dijual berikutan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan mulai semalam di seluruh negara.

Seperti tahun lalu, pengusaha ladang tembikai Ain Izzuddin Mohd Ghazali, 26 turut mengalami situasi sukar ketika PKP pertama, apabila lebih enam tan hasil tanamannya tidak dapat dijual sehingga dia kerugian hampir RM 9,000.

Namun pengalaman mengajar Izzuddin yang menetap di Pekan, Pahang menjadi lebih cekal. Dia sekali lagi menggunakan media sosial bagi mempromosikan tembikainya selepas mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengguna media sosial, tahun lalu.

Izzuddin berkata, selepas perniagaannya tular di Twitter, terdapat permintaan untuk membeli buahnya dengan tujuan untuk disedekahkan kepada rumah anak-anak yatim, rumah orang yang kurang berkemampuan, petugas barisan hadapan dan juga masjid berdekatan.

“Ada pembeli daripada Kuala Lumpur, Johor dan Pahang,” katanya.

Izzuddin berkata, kebanyakan pembeli bukan sahaja menyokong jualannya malah memberikan kata-kata semangat untuk dia meneruskan usahanya berbakti kepada tanah.

Hanya laku sebiji

Ketika dihubungi Malaysiakini, Izzuddin yang berpengalaman selama tiga tahun dalam bidang penanaman berkata, dia menceburi bidang penanaman tembikai berdasarkan kepada kejayaan rakan-rakannya sebelum ini.

Namun, nasib tidak menyebelahi anak muda, dia langsung tidak menyangka penjualannya sekali lagi akan terjejas akibat pengumuman pelaksanaan PKP oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu.

“Orang memang tak ada. Masa itu hari yang pertama juga, selalu pagi saya meniaga boleh dapat RM200 ke RM300.

“Tapi hari itu hanya RM20 sahaja dapat. Orang datang beli sebiji itupun orang kampung,” katanya

Dia tidak dapat menganggarkan kerugian atau pulangan tahun ini kerana buah-buahannya masih belum habis dijual.

Menurut Izzuddin, tahun ini dia terpaksa menaikkan sedikit harga tembikai menjadi RM2.50 sekilogram kerana kualiti buah yang dijual adalah Gred A.

Katanya, modal yang dikeluarkan buat penanaman kali kedua ini juga besar dan dia terpaksa membuat pinjaman serta menggunakan seluruh simpanannya berikutan daripada tanamannya musnah akibat banjir.

Masalah sekatan jalan raya

Selain itu, peniaga-peniaga air balang yang lazimnya membeli tembikai daripada pengusaha ladang tidak lagi mengambil buah tersebut kerana bazar ramadan juga terkesan dengan ada yang terpaksa ditutup susulan pengumuman PKP.

Ditanya cabaran lain ketika megusahakan penanaman tembikai ini, Izzuddin berkata dia juga menghadapi masalah tidak dapat menghantar hasil jualannya di luar kawasan atas larangan merentas daerah dan negeri.

Katanya, terdapat juga sekatan jalan raya di hadapan kedainya yang terletak di Kampung Ubai, Pekan yang turut menjejaskan hasil jualan tembikainya.

60 sen satu kilogram

Izzuddin berkata, tahun sebelum ini ada beberapa peraih yang memborong buah-buahannya dengan kuantiti yang banyak namun disebabkan PKP mereka tidak mahu mengambil risiko.

“Kalau ada yang ingin ambil pun, mereka (peraih) cenderung menawarkan harga yang murah.

“Jadi, kami (petani) tak dapat semula pulangan modal kami (petani),” kongsinya.

Dalam pada itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut menghubungi Izzuddin bagi membuka jalan untuk memasarkan tembikainya.

Seperti peraih, katanya, FAMA juga ingin membeli tembikai tersebut dengan harga yang rendah, namun Izzuddin terpaksa menolak tawaran mereka.

“Kalau dia (peraih) ambil harga 60 sen macam mana kita nak dapat modal, nak bayar balik pekerja,” katanya.

Dia yang menjaga ibunya di kampung berkata, melalui kerja-kerja bertani dan kampunglah dirinya mampu menjana pendapatan harian.

Jadi makanan lembu

Izzuddin berkata, sekiranya ada buah yang telah masak tidak habis dijual, dia akan memproses tembikai tersebut menjadi jus untuk dijual.

Menurutnya, alternatif terakhir yang dilakukan adalah dengan memproses tembikai tersebut menjadi makanan lembu.

Izzudddin juga membantu rakan petani yang lain dengan berkongsi jualan sekiranya ada pembeli yang ingin membeli dalam kuantiti yang banyak.

“Contoh, orang nak beli satu tan, kami kongsi buah, saya beri 500 kilogram, buah dia (rakannya) 500 kilogram,” katanya.

Setelah hasil tembikai habis dikutip dan dijual, Izzuddin akan membersihkan ladangnya dan mengusahakan tanaman lain seperti jagung dan labu.

Bagi Izzuddin, beliau akan terus berbudi kepada tanah bagi mendapatkan hasil malah akan lebih berhati-hati dalam membuat perancangan untuk tanamannya.

“(Bagi saya) jangan patah semangat teruskan usaha, ujian yang Allah bagi itu ada hikmah dia,” katanya.

Lihat Komen
ADS