Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kastam AS rampas 4.68 juta sarung tangan anak syarikat Top Glove
Diterbitkan:  May 13, 2021 12:41 PM
Dikemaskini: 5:13 AM

Pihak berkuasa Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) menyita 4.68 juta sarung tangan getah berasal dari Malaysia yang dalam perjalanan ke Kansas City, Missouri di AS.

Ini susulan petunjuk sarung tangan itu dibuat menggunakan buruh paksa.

Penghantaran barangan itu disita setelah pemeriksaan oleh pegawai CBP mendedahkan sarung tangan itu dihasilkan di Malaysia oleh anak syarikat Top Glove Corp Bhd, kata CBP dalam satu kenyataan semalam.

Nilai anggaran penghantaran adalah AS$ 690,000.

"Mengambil maklum penyitaan ini terjadi di Amerika Syarikat. Ini menunjukkan bahawa barangan import yang dihasilkan oleh buruh paksa mempengaruhi semua orang di seluruh negara.

"CBP tidak akan bertolak ansur terhadap amalan buruh paksa dalam rantaian bekalan AS," kata Pengarah Pelabuhan-Kansas City Steven Ellis dalam pernyataan CBP.

Pada 29 Mac, CBP mengeluarkan penemuan yang mendedahkan amalan buruh paksa melalui banyak petunjuk dalam proses pengeluaran kilang Top Glove, termasuk ikatan perhambaan hutang, kerja lebih masa yang melampau, keadaan kerja dan kehidupan yang mendera serta penyimpanan dokumen pengenalan diri.

Pada hari sama, CBP mengarahkan anggota di semua pintu masuk AS untuk mula merampas sarung tangan pakai buang yang dihasilkan di Malaysia oleh Top Glove, pembuat sarung tangan perubatan terbesar di dunia.

Pada mulanya pihaknya melarang produk daripada dua anak syarikat Top Glove pada Julai lalu tetapi memperluas larangan itu terhadap semua produk pengeluar buatan Malaysia pada bulan Mac.

Pada 5 Mei, CBP juga telah merampas penghantaran 3.97 juta sarung tangan pakai buang dari Top Glove yang dianggarkan bernilai AS$518,000 berdasarkan petunjuk bahawa barangan itu dibuat oleh buruh paksa.

Top Glove mengakui bulan lalu pengeluaran sarung tangannya dipengaruhi oleh larangan AS itu.

Kemudian, firma itu mengumumkan pada akhir bulan April bahawa pihaknya telah menyelesaikan semua petunjuk buruh paksa dalam operasinya, memetik laporan oleh perunding perdagangan etika yang diambil pihaknya.

CBP hari ini berkata terdapat undang-undang persekutuan di AS yang melarang pengimportan barang dagangan yang melibatkan sebarang bentuk buruh paksa, pekerja banduan atau buruh tanpa izin.

Pihak berkuasa sempadan AS itu juga berkata pihaknya akan terus merampas penghantaran berkenaan tertakluk kepada penemuan itu kecuali pengimport dapat membuktikan dengan CBP bahawa barang dagangan tersebut tidak dibuat hasil buruh paksa.

Lihat Komen
ADS