Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan belum bersedia untuk menaikkan gaji kumpulan sokongan perkhidmatan awam dan anggota polis.

Perdana Menteri berkata jika semakan gaji melibatkan semua kakitangan awam dilakukan sekarang, kerajaan dijangka menanggung perbelanjaan tambahan sekitar RM6 bilion.

"Pada waktu ini saya tak boleh katakan kita bersedia mengeluarkan sekian banyak wang. Kemampuan kewangan kerajaan perlu diambil kira.

"Ini kerana kerajaan juga perlu mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk pembangunan kepada rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perjawatan dan Gaji Pekerja-pekerja Sektor Awam di Putrajaya.

Menurut laporan Bernama, Cuepacs baru-baru ini meminta gaji pokok RM480 kakitangan awam kumpulan sokongan dan rendah dinaikkan manakala Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan pula mencadangkan supaya gaji pokok anggota polis berpangkat rendah disemak semula.

Abdullah, yang juga Menteri Kewangan, mengakui sesetengah anggota polis mendapat gaji yang kecil tetapi katanya, jika dicampur elaun, jumlahnya lebih tinggi berbanding apa yang diperoleh pegawai perkhidmatan awam bagi kategori tertentu.

"Bagaimanapun, beban kerja polis makin meningkat. Maka kita perlu juga melihat daripada segi pelarasan gaji. Itu satu perkara yang dapat diambil kira," katanya.

Perdana Menteri berkata walaupun semakan gaji sudah agak lama tidak dibuat, namun kerajaan daripada semasa ke semasa, melakukan pelarasan gaji selain meluluskan pemberian pelbagai elaun dan bonus kepada kakitangan awam.

Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum ini berkata, sejak 1992, kerajaan telah membuat semakan dan pelarasan gaji sebanyak lima kali.

"Dari segi pendapatan dalam bentuk gaji, tentu telah berlaku penambahan bila kakitangan awam menikmati pelarasan gaji sebelum ini sehingga mencecah paras 10 peratus," kata Abdullah.

Beliau turut menyentuh tentang pemberian elaun bantuan sara hidup (COLA) selain bonus kepada kakitangan awam yang melibatkan peruntukan RM2.4 bilion.

Katanya sebarang semakan gaji perlu disusuli oleh semakan pencen.

"Dan pencen ini bukan satu perkara yang kecil bagi negara kita. Akan bertambahlah wang yang perlu dikeluarkan oleh kerajaan kalau masuk semakan pencen juga.

"Tapi untuk menimbangkan semakan gaji secara keseluruhan, ia adalah satu langkah yang cukup besar," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata JPA akan melihat secara keseluruhan apa yang perlu dilakukan dalam hal berkaitan semakan gaji itu.