Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KKM: Tiada bukti kukuh keberkesanan Ivermectin dalam rawatan Covid-19
Diterbitkan:  May 16, 2021 5:00 PM
Dikemaskini: 9:00 AM

Susulan dakwaan berkenaan penggunaan ubat Ivermectin untuk mencegah wabak Covid-19, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengumumkan pelaksanaan ujian klinikal secara rawak bagi melihat sama ada ia benar-benar boleh digunakan.

"KKM telah memulakan ujian klinikal secara rawak untuk penggunaan Ivermectin dan menilai tahap keselamatan dan keberkesanan terhadap pesakit Covid-19 berisiko tinggi.

"Ujian akan melibatkan 500 pesakit Covid-19 di 12 hospital KKM. Melalui kajian ini, KKM berharap akan mendapat perspektif yang tepat mengenail keberkesanan Ivermectin," kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Ivermectin adalah ubat antiparasit yang kebanyakannya digunakan dalam perubatan haiwan, terutama dalam merawat kecacingan.

"Pada April 2020, penyelidik menggunakan kaedah makmal menunjukkan Ivermectin juga boleh menghalang pembiakan (replication) Sars-CoV-2, iaitu virus yang menyebabkan Covid-19.

"Sejak itu, ramai penulis menggunakan dapatan daripada kajian kecil dan siri kes untuk mencadangkan potensi penggunaan Ivermectin terhadap Covid-19. Pada masa sama syor untuk penggunaan 'off-label' (penggunaan suatu ubat terhadap penyakit lain) memang suatu yang kontroversi sejak dari awal," katanya.

Katanya lagi, walaupun risiko penularan Covid-19 di Malaysia tinggi pada masa ini, pihaknya tetap perlu mengambil langkah yang sewajarnya bagi mencari kaedah yang benar-benar mendatangkan hasil.

"Tanpa bukti daripada ujian klinikal yang dibuat dengan baik, KKM belum dapat mengesyorkan penggunaan Ivermectin untuk menghalang atau merawat Covid-19. Sains tetap senjata terbaik bagi menghadapi virus Sars-Cov-2," katanya lagi.

Katanya lagi, kebanyakan ujian berkaitan penggunaan Ivermectin sama ada terhad dari segi saiz sampelnya, kajian yang tidak dikawal, atau ia hanya digunakan sebagai rawatan tambahan, menjadikan kesimpulan kesan ubat itu tidak tepat.

"Pada Januari 2021, satu ujian menggunakan placebo secara rawak melibatkan 24 pesakit Covid-19 tidak kritikal tidak dapat menunjukkan pengurangan dalam kadar pesakit positif PCR pada hari ketujuh, selepas diberikan dos 400 mcg/kg Ivermectin.

"Penulis kajian rintis itu, yang diterbitkan dalam EClinical Medicine (Lancet), berpandangan ujian lebih meluas diperlukan bagi memahami kesan Ivermectin. Pada Mac tahun ini, Journal of American Medical Association (Jama) menerbitkan ujian rawak melibatkan 476 orang dewasa dengan Covid-19 yang ringan, yang diberikan Ivermectin selama lima hari.

"Ia menunjukkan tiada penambahbaikan yang signifikan dalam tempoh sembuh daripada gejala Covid-19. Sementara Ivermectin mungkin ada kesan antiviral dan antikeradangan, bukti yang ada tidak konklusif," katanya lagi.

Badan penyelenggara seperti FDA Amerika Syarikat dan Agensi Perubatan Eropah telah menilai kajian-kajian yang dibuat dan menyimpulkan tiada bukti cukup untuk menyokong penggunaan Ivermectin dalam rawatan Covid-19.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) turut mengeluarkan garis panduan yang melarang penggunaan ubat itu secara rutin dalam rawatan Covid-19, kecuali untuk ujian klinikal.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS