Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Vaksin lawan varian: Apa yang kita tahu setakat ini?

PANDUANKINI | Sejak bermulanya wabak Covid-19, saintis telah memantau penjujukan genetik virus tersebut supaya dapat mengenal pasti mutasi yang boleh mendatangkan masalah di masa hadapan.

Kini, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengenal pasti empat varian SARS-CoV-2 untuk diteliti dengan lebih mendalam.

Lebih merisaukan, beberapa varian ini telah dikesan dalam kalangan populasi Malaysia, termasuk varian yang boleh mengurangkan keberkesanan vaksin Covid-19.

Menerusi panduankini, kita akan melihat apakah punca varian tersebut dan apakah kesannya terhadap vaksin dalam program imunisasi Malaysia.

Bagaimana varian ini muncul?

Ketika wabak SARS-CoV-2 menyebar ke seluruh populasi manusia, secara semula jadi ia menimbulkan "kesilapan" dalam salinan kod genetiknya.

Sebilangan besar mutasi ini berbahaya, namun secara kebetulan, sebilangan kecil mutasi boleh menjangkiti manusia dengan lebih cepat.

Hal ini menyebabkan varian baru menular lebih pantas ke seluruh populasi. Semakin banyak orang yang dijangkiti, semakin besar kemungkinan terdapat varian dengan mutasi akan muncul.

Para saintis sentiasa mengumpulkan sampel dari pesakit Covid-19 untuk mengetahui penjujukan genom keseluruhan. Ini merupakan tugas khusus bagi mendedahkan kod genetik virus yang bertanggungjawab terhadap jangkitan kepada pesakit.

Saintis kini sedang meneliti mutasi yang boleh menyebabkan virus ini mengelak pengesanan ujian Covid-19, meningkatkan penularan atau kematian, atau bahkan membuatkan vaksin kurang berkesan.

Pihak berkuasa kesihatan mempunyai definisi yang berbeza, namun secara amnya, varian Covid-19 yang membawa mutasi yang dipercayai memberikan ciri-ciri seperti itu ditandai sebagai "varian yang menarik minat" (varian of interest)

Jika terdapat bukti mengesahkan bahawa varian itu lebih berbahaya maka ia boleh diklasifikasikan kepada “varian yang perlu diperhatikan” (variant of concern)

Ia bermaksud, varian tersebut memerlukan penelitian khusus dan usaha untuk mengawal penularannya.

Apa itu Varian Yang Perlu Diperhatikan?

WHO setakat ini telah mengenal pasti empat varian yang perlu diperhatikan.

B.1.1.7 pertama kali dikenal pasti di UK pada September 2020. Ia dikaitkan dengan peningkatan jangkitan, namun penggunaan vaksin adalah berkesan terhadap varian ini.

Menurut WHO, varian itu telah dilaporkan menular ke 149 negara sejak 11 Mei.

B.1.351 pada awalnya dikenal pasti di Afrika Selatan pada Mei 2020. Ia dikaitkan dengan peningkatan jangkitan dan keberkesanan vaksin yang berkurang, dan berpotensi menjangkiti bekas pesakit Covid-19. Varian ini sudah dikenal pasti di 102 negara.

Varian B.1.1.28.1 (juga dikenali sebagai P.1) dikesan di Jepun pada November 2020 menerusi pengembara yang tiba dari Brazil. Ia berkongsi sifat yang serupa dengan B.1.351 dan telah dilaporkan di 60 negara.

Varian B.1.617 pertama kali dikesan di India pada 2020 Oktober, namun hanya menjadi perhatian susulan penularan yang meningkat dalam negara itu.

Ia sebenarnya merujuk kepada tiga sub-varian - B.1.617.1, B.1.617.2 dan B.1.617.3.

B.617, kelihatan lebih cepat menular daripada B.1.1.7. Beberapa laporan juga menyatakan bahawa ia boleh menyebabkan penyakit yang lebih teruk daripada varian yang sedia ada.

Ia mungkin memiliki beberapa kemampuan untuk mengelak antibodi dari vaksin namun tidak cukup untuk menjadikan vaksin tidak berkesan.

B.1.617 telah dilaporkan di 44 negara pada 11 Mei.

Bagaimana dengan mutasi D614G yang banyak diperkatakan tahun lalu?

Zarah virus SARS-CoV-2 individu mungkin mengandungi banyak mutasi berbanding yang pertama kali dikesan di Wuhan, China, semasa bermulanya wabak Covid-19.

D614G hanyalah salah satu daripada banyak kemungkinan mutasi.

Sememangnya masing-masing dari empat varian yang perlu diperhatikan membawa enam hingga 12 “pengenalan” mutasi yang membezakannya daripada varian lain.

Beberapa mutasi ditampilkan pada beberapa varian ini.

Sebagai contoh, mutasi E484K terdapat pada varian B.1.351 dan juga varian P.1, yang memberi ia kemampuan untuk mengelak antibodi oleh vaksin. Subvarian B.1.617.1 dan B.1.617.3 membawa mutasi E484Q yang serupa.

Sementara itu, mutasi D614G dikaitkan dengan peningkatan penularan. Ini adalah satu-satunya “pengenalan” mutasi yang terdapat pada keempat-empat varian yang perlu diperhatikan.

Varian apa yang sudah dikesan di Malaysia

Varian tempatan yang dikenali B.1.524. Ini tidak dianggap sebagai "varian yang menarik minat" atau "varian yang perlu diperhatikan". 

Perkara yang sama berlaku untuk varian B.1.470 dan B.1.466.2 yang juga menular di Malaysia.

Bagaimanapun, baru-baru ini, tiga daripada empat varian yang perlu diperhatikan telah dikenal pasti dalam negara. Ia adalah: B.1.1.7, B.1.351, dan B.1.617. 

Hanya varian P.1 - yang pertama kali dikesan oleh pelancong dari Brazil - satu-satunya varian yang belum ditemui menular di Malaysia.

Yang paling menonjol adalah varian B.1.351 yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat empat lagi kes varian tersebut direkodkan, sekali gus membawa jumlah keseluruhan kepada 66 kes.

Ia setakat ini dikesan di Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Kedah, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Sebilangan besar kes itu berkaitan dengan pelbagai kluster, namun 19 orang merupakan kontak rapat yang tidak berkaitan dengan mana-mana kluster dan satu daripada ujian saringan selepas mengalami gejala Covid-19.

Satu kes melibatkan individu yang telah divaksin dan telah pulih akibat Covid-19.

Bagi varian B.1.1.7, sejumlah tiga kes telah dikesan, satu di Selangor iaitu sebahagian daripada kluster Lorong Megah Jaya, dua lagi di Sabah yang dijadikan sampel semasa ujian kontak rapat.

Lima kes lain adalah kes import.

Bagi varian B.1.617, lima kes telah dikesan. Kesemua mempunyai sejarah perjalanan dari India, termasuk mereka yang dikesan ketika menjalani kuarantin setibanya di Malaysia.

Satu kes dikesan pada 7 April, kemudian diuji negatif Covid-19 pada hari yang sama dan 12 April. Bagaimanapun, pada 21 April, pesakit dimasukkan ke hospital dengan gejala Covid-19 yang teruk dan kemudian meninggal dunia pada 1 Mei.

Pada 12 Mei, Noor Hisham melaporkan bahawa kes tersebut melibatkan varian B.1.617.2.

Untuk kes lain, Noor Hisham menjelaskan semalam kes itu dikesan melalui saringan individu yang mempunyai gejala Covid-19.

Namun, maklumat di atas harus dibaca dengan berhati-hati kerana hanya sebilangan kes yang mengikut jujukan dan kes yang dijelaskan di sini hanyalah yang disahkan secara genom (maklumat terpeinci di bawah)

Sejauh mana keberkesanan vaksin terhadap varian ini?

Satu kajian di Qatar mendapati, vaksin Pfizer-BioNTech mempunyai keberkesanan 75 peratus bagi mencegah jangkitan varian B.1.351 dan 100 peratus ke atas penyakit yang teruk dan kematian.

Sebagai perbandingan, ujian awal menunjukkan vaksin ini mempunyai 95 peratus keberkesanan terhadap pesakit Covid-19 bergejala.

Ujian terhadap vaksin AstraZeneca di Afrika Selatan menunjukkan keberkesanan menurun serendah 10.4 peratus terhadap jangkitan B.1.351 yang ringan hingga sederhana.

Bagaimanapun, kajian itu mempunyai beberapa masalah.

Pertama saiz kajian yang kecil bermaksud pengukurannya mungkin tidak tepat atau salah.

Kedua, tiada seorang pun dalam kajian yang sakit parah atau meninggal dunia akibat Covid-19 - sama ada mereka diberi vaksin atau tidak - yang bermaksud tidak ada kesimpulan yang dapat diambil mengenai apakah vaksin tersebut masih melindungi dari penyakit yang teruk atau kematian.

Sekali lagi, ini disebabkan oleh saiz kajian yang kecil.

Walaupun begitu, kajian itu dan sebelumnya sudah cukup untuk mendorong kerajaan Afrika Selatan untuk tidak menggunakan vaksin AstraZeneca.

AstraZeneca dilaporkan sedang menambah baik vaksin terbaru yang akan berfungsi terhadap semua varian, dan mengharapkan ia siap digunakan pada akhir tahun 2021.

Sementara itu, laporan Reuters memetik sumber mendakwa bahawa vaksin AstraZeneca tetap berkesan terhadap varian P.1.

Vaksin Sinovac kini berkesan 50.38 peratus dalam ujian klinikal di Brazil dan 49.6 peratus  'dalam dunia nyata' dalam mencegah gejala Covid-19, di mana varian P.1 merupakan sesuatu yang lazim.

Sejak Februari, tiada sesiapa yang menerima vaksin dalam ujian di Brazil mengalami gejala ringan atau berat, berbanding tujuh yang tidak menerima vaksin.

Sebagai perbandingan, vaksin yang sama berkesan sebanyak 94 peratus di Indonesia di mana varian yang perlu diperhatikan SARS-CoV-2 belum dikesan.

Pengkaji vaksin Sputnik V mendakwa keberkesanannya berkurang terhadap varian B.1.351, namun mengatakan ia masih lebih baik daripada vaksin lain. Ia belum mengeluarkan data untuk menyokong dakwaannya.

Prestasi vaksin CanSino Biologics terhadap varian SARS-CoV-2 belum diumumkan secara terbuka.

Berkenaan dengan varian B.1.1.7, semua vaksin yang diuji tampaknya berfungsi sama seperti yang dilakukan terhadap varian Covid-19 yang lama.

Namun, fakta bahawa ia lebih mudah menular bererti lebih banyak orang perlu diberi vaksin untuk mencapai kekebalan kawanan. Ini juga terpakai untuk varian lain yang sangat mudah menular.

Mengenai varian B.1.617, mungkin terlalu awal untuk dipastikan tetapi ada tanda-tanda yang menjanjikan bahawa vaksin akan tetap berkesan. 

Hasil kajian mendapati antibodi yang disuntik oleh beberapa vaksin berpotensi mengurangkan varian B.1.617, tetapi penurunan dilaporkan tidak seperti yang dilihat pada varian B.1.315.

Bagaimanapun, ujian demikian bermaksud keberkesanannya di dunia nyata masih tidak jelas atas beberapa sebab. Salah satunya, antibodi hanya satu komponen tindak balas imun yang kompleks.

Sementara itu di UK kelmarin, di mana negara itu mengalami peningkatan jangkitan B.1.617, Setiausaha Kesihatan Matt Hancock dilaporkan memberitahu parlimen bahawa majoriti mereka yang dimasukkan ke hospital kerana varian tersebut adalah mereka yang layak mendapat vaksin tetapi masih belum diberi vaksin.

"Ini menunjukkan varian baru tidak cenderung menembusi kelompok lebih tua, kumpulan yang diberi vaksin dan ini menerangkan betapa pentingnya mendapatkan suntikan terutama - tetapi tidak hanya - di antara kumpulan usia yang rentan," katanya, berdasarkan rakaman video.

UK ketika ini menggunakan vaksin dari Pfizer-BioNTech (11.4 juta dos pada 5 Mei), AstraZeneca (23.3 juta dos), dan Moderna (kira-kira 100,000 dos).

Adakah kita benar-benar tahu di mana varian SARS-CoV-2 muncul?

Jawapan ringkas adalah: Tidak.

Seperti yang disebutkan, penjujukan genomik (genomic sequencing) Covid-19 memerlukan penelitian yang sangat khusus. Hanya segelintir negara yang memiliki kemampuan melakukan ini secara rutin dan mengumpulkan jujukan sampel di negara mereka.

Dari 160 kes Covid-19 yang disahkan seluruh dunia, hanya 1.5 juta pernah dijujukan dan dikongsi di platform Gisaid.

Gisaid digunakan oleh penyelidik untuk berkongsi maklumat genomik virus influenza dengan pantas tetapi kini, telah digunakan untuk memantau SARS-CoV-2 juga.

Hampir separuh daripada penyerahan SARS-CoV-2 di Gisaid berasal dari UK dan AS, sementara kebanyakan negara menyerahkan sampel yang jauh lebih sedikit.

Malaysia, khususnya, hanya berjaya berkongsi 683 jujukan dengan seluruh dunia hingga 17 Mei, yang berjumlah 0.14 peratus kes yang disahkan sehingga saat itu.

Manakala, negara jiran, Singapura menguruskan dan berkongis dan 3.91 peratus kes jujukan, sementara Indonesia pada 0.10 peratus.

Jumlahnya boleh mencapai setinggi 77.6 peratus di Iceland dan 59.1 peratus di Australia - kedua-dua negara maju yang mempunyai kes Covid-19 yang sedikit.

Sebaliknya, kira-kira 50 negara dan wilayah tidak menyerahkan jujukan genomik kepada Gisaid sama sekali, walaupun beberapa negara seperti Honduras telah melaporkan ratusan ribu kes.

Ini meninggalkan titik buta dalam memantau penyebaran varian yang perlu diperhatikan dan melihat kemunculan varian baru.

Lebih-lebih lagi, mengenal pasti mutasi SARS-CoV-2 melalui penjujukan hanya permulaan kerja yang diperlukan untuk menentukan apakah terdapat perbezaan mutasi dalam virus Covid-19.

Malaysia telah memperuntukkan sebahagian daripada perbelanjaan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk meningkatkan pengawasan genomik terhadap Covid-19, untuk memastikan portfolio vaksin Malaysia dapat berfungsi terhadap varian yang menular di negara ini.


Panduankini ini disediakan oleh Koh Jun Lin

Lihat Komen
ADS