Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Laksana PKP lebih tegas, k'jaan tanggung keperluan rakyat
Diterbitkan:  May 20, 2021 11:41 AM
Dikemaskini: 3:46 AM

Kerajaan kembali menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 12 Mei lalu.

Bagaimanapun penularan Covid-19 dilihat kian memburuk sehingga menimbulkan spekulasi kerajaan mungkin melaksanakan PKP lebih ketat selepas ini.

Bagi bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, kerajaan mengambil tindakan yang betul dengan menguatkuasakan semula PKP sebelum ini namun berkata ia dibuat secara lebih longgar berbanding sebelumnya.

Dia berkata, ia perlu dilaksanakan dengan lebih tegas dengan orang ramai dilarang keluar rumah untuk sekurang-kurangnya sebulan.

Pada masa sama, dia berkata kerajaan perlu menanggung perbelanjaan yang tinggi bagi menyediakan keperluan rakyat, termasuk menghantar keperluan makanan kepada rakyat.

“Kita perlu kurung orang di rumah mereka. Tak patut ada alasan untuk orang berkumpul. Menjauhkan diri mesti diterapkan hatta dalam kalangan petugas barisan hadapan.

“Mengurung orang di rumah bermakna mereka tidak akan ada duit dan makanan. Kerajaan mesti ambil tanggungjawab untuk memastikan rakyat (dapat) terus hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam soal makanan, Mahathir berkata khidmat dapur awam dan hotel boleh digunakan untuk menyediakannya, dan penghantar makanan boleh diupah bagi menghantar makanan dari rumah ke rumah, tanpa melibatkan kontak antara penghantar makanan dengan isi rumah.

“Kuarantin rumah harus (dilaksanakan) sekurang-kurangnya sebulan. Polis dan tentera harus menjadi sangat tegas dalam memastikan orang tidak keluar ke kedai atau apa-apa.

“Kos mesti ditanggung oleh kerajaan. Ia mahal, tetapi kerajaan mesti melakukannya,” tambahnya.

Untuk rekod, setelah mencatatkan penurunan dalam bulan Feb dan Mac, kes mula mencatatkan peningkatan sejak April. Terbaru, semalam (19 Mei), kes harian mencatatkan 6,075 kes baru dengan 46 kematian.

Sebagai petanda keadaan yang kian memburuk, Hospital Sungai Buloh baru-baru ini memaklumkan pihaknya perlu menyediakan kontena sebagai tambahan tempat penyimpanan jenazah susulan peningkatan pesakit yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Mahathir berkata, PKP pertama pada tahun lalu berjaya mengekang penularan wabak, sehingga kes baru berada pada tahap dua angka dan kematian tidak melebihi sepuluh.

Namun, selepas itu, katanya, negara menjadi “terlalu yakin” dan merasakan seperti sudah tahu menguruskan wabak berkenaan, sehingga mengadakan PRN Sabah tahun lalu - yang disusuli dengan gelombang ketiga penularan.

Dia berkata kerajaan seperti tidak belajar daripada pengalaman lalu, dengan membangkitkan kebenaran terhadap operasi bazar Ramadan yang menyebabkan kes baru kian meningkat.

Dia mendakwa kerajaan tahu akan risiko perkara itu tetapi enggan menjadi “tidak popular” dengan melarang bazar dan hanya melarangnya stelah berlaku peningkatan kes.

“Ia contoh baik ‘flip-flop’ yang rakyat tak dapat terima. Peniaga makanan sudah beli bahan untuk sepanjang bulan. Sekarang mereka rugi duit dan tak ada jalan untuk dapatkan semula modal mereka,” katanya lagi.

Selain PKP yang lebih tegas, Mahathir menggesa kerajaan mempercepat proses vaksinasi terutama dalam kalangan orang kampung, selain melakukan ujian saringan dengan lebih kerap bagi memastikan orang yang dijangkiti Covid-19 dikenal pasti dan diasingkan.

'RM600 bilion jumlah yang banyak'

Mahathir turut mempersoalkan dakwaan kerajaan bahawa sejumlah RM600 bilion telah digunakan bagi menangani Covid-19, yang katanya, sepatutnya cukup untuk menangani wabak berkenaan.

“Tapi, jelasnya, kita tak dapat (menanganinya). Kita mesti tahu kenapa. RM600 bilion ialah wang yang banyak. Tak mudah membelanjakan wang sebanyak itu dalam masa yang sebegitu singkat,” katanya.

Mahathir dipercayai merujuk kenyataan perdana menteri bahawa kerajaan telah membelanjakan RM600 bilion dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat Covid-19, bulan lalu.

PKP terbaru berkuat kuasa dari 12 Mei hingga hingga 7 Jun 2021.

Namun, berbeza dengan pelaksanaan PKP pertama Mac tahun lepas, PKP kali ini membenarkan semua sektor ekonomi beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaannya. 

Lihat Komen
ADS