Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Video rumah Orang Asli hangus petunjuk cubaan rampasan tanah baru - Aktivis

Video memparkan seorang wanita Orang Asli Semelai melihat rumah kebun arwah datuknya yang hangus merupakan petunjuk bahawa komuniti itu sedang berdepan cubaan rampasan tanah terbaru, kata pengarah Centre for Orang Asli Concerns, Colin Nicholas.

Dalam video 12 Mei yang diambil di Kampung Paya Berangan, Bera, Pahang, seorang wanita Semelai menceritakan detik tragik rumah peninggalan arwah datuknya dihancurkan bersama binaan kecil dan pohon buah-buahan lain, sehari sebelumnya.

Difahamkan, keluarga wanita itu telah membuat laporan polis berhubung hal berkenaan, namun Nicholas percaya pemusnahan tersebut merupakan langkah terancang untuk memaksa mereka keluar daripada kawasan berkeluasan 67.7 hektar yang menjadi pertikaian berkenaan.

“Sejak 2003, ada individu-individu masuk dan menuntut lot dan bidang tanah persendirian.

“Sekarang ini terdapat satu usul Rancangan Tanah Berkelompok (RTK) yang dipanggil RTK Jeram.

“Rancangan ini melibatkan mereka dari kampung-kampung Melayu di Kampung Jeram dan Kampung Durian Tawar di daerah Temerloh. Kini terdapat dakwaan bahawa ini ialah tanah rizab Melayu,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Nicholas, dia pertama kali melawat kawasan itu pada 2006. Katanya, orang Semelai ketika itu turut terlibat melawan pencerobohan ke Kampung Paya Berangan dan kawasan berdekatan Kampung Paya Badak, yang secara keseluruhan menempatkan 200 penduduk.

Hal sama katanya berlaku di Kampung Bukit Rok dan Kampung Ibam di daerah Bera, apabila kerajaan negeri mahu membangunkan tanah Felcra bagi orang Melayu di sekitar kawasan itu, dengan mendakwa kawasan itu merupakan tanah rizab Melayu sejak 1927.

Batin Mohamad Nohing bersama yang lain, membawa kes itu ke mahkamah.

“Saya dapati British mengeluarkan pengisytiharan menyeluruh (broad declaration) pada 1927 bahawa untuk 270 batu sepanjang Sungai Pahang, 3 batu di setiap belah sisinya merupakan tanah rizab Melayu. Mereka lakukan ini secara membuta tuli tanpa memeriksa dengan pihak lain, termasuk Orang Asli yang tinggal di situ.

“Jadi mahkamah mendapati pewujudan tanah rizab Melayu pada 1927 tidak memadamkan hak milik pribumi Orang Asli terhadap tanah adat mereka dan saya percaya prinsip sama boleh digunakan di sini,” katanya.

Penduduk kampung Semelai tidak berhasarat untuk menyerah dan sedang membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk mencari penyelesaian berhubung tanah yang sudah mereka duduki sejak 1948, menurut ketua suku Sari Sapar.

Pada Februari, penduduk kampung Semelai yang menuntut hak tanah adat terhadap tanah di Kampung Orang Asli Lubuk Perah - juga di Bera-, diarahkan memberi laluan kepada syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk membersihkan tanah bagi tujuan penanaman kelapa sawit.

Mereka telah menduduki tanah itu sejak lebih seabad lalu.

Ini selepas Mahkamah Tinggi Temerloh membenarkan permohonan daripada Elite Agriculture Sdn Bhd, yang mengaku memiliki pajakan 99 tahun ke atas tanah 655 hektar itu, untuk mengambil semula tanah berkenaan.

[Baca laporan asal]

 

Lihat Komen
ADS