Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Lapan individu hadir ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi hari ini bagi memberikan keterangan berhubung himpunan "Buka Puasa Buka Parlimen" yang diadakan pada 30 April.

Mereka yang terdiri daripada wakil rakyat, ahli parti politik, NGO dan aktivis, disiasat bawah seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Mereka memasuki IPD itu kia-kira jam 1 petang dan keluar kira-kira sejam kemudian.

Yang hadir hari ini ialah Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir; Adun Paloh, Sheikh Umar Ali Bagharib; Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei; Setiausaha Agung Muda Amir Abdul Hadi: Ahli Jawatankuasa PSM Sharan Raj; Ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan Asmaalif Abdul Adam; ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Khairuddin Abu Hassan; dan pengasas bersama Undi-18 Tharma Pillai.

Bercakap kepada pemberita selepas keterangan diambil, peguam mereka Syahredzan Johan berkata kesemua lapan yang dipanggil memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan polis itu.

Syahredzan Johan 

Namun, katanya, daripada segi prinsip, keterangan yang terlibat tidak perlu diambil memandangkan mereka hanya mengamalkan hak mengeluarkan pendapat yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

"Dari segi prinsip, kita berpendirian tak perlulah pihak polis ambil keterangan kami kerana pada akhirnya, ini adalah satu perhimpunan aman di mana nilai ekspresi anak muda, orang ramai dan wakil parti politik, yang hanya mengeluarkan pendapat.

"Mereka mengamalkan hak mereka bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Dalam perhimpunan hujung bulan lalu, kira-kira 100 orang berbuka puasa di depan pintu masuk parlimen dalam acara anjuran Sekretariat Solidariti Rakyat bagi menuntut kerajaan melaksanakan enam perkara.

Tuntutan itu termasuk menuntut sidang parlimen kembali diadakan.

Lima lagi tuntutan adalah pelaksanaan Undi 18, jaminan kemandirian ekonomi rakyat, pemerkasaan pendidikan yang selamat untuk semua, pemerkasaan hak Sabah dan Sarawak, dan penguatkuasaan undang-undang yang saksama dan berperikemanusiaan.

Demo 30 April

Selain berbuka puasa, peserta turut menunaikan sembahyang Maghrib berjemaah disusuli dengan bacaan al-Quran dan kupasan ayat al-Quran berkaitan kerajaan yang zalim.

Selain itu, Mukhriz berkata, dengan kes harian Covid-19 semalam yang melebihi angka 6,000, kerajaan PN dilihatnya gagal mengawal penularan wabak berkenaan.

"Hadirnya saya di depan Parlimen hari itu ialah untuk menyokong desakan membuka semula Parlimen kerana kita dapati kerajaan PN gagal menangani penularan Covid-19, dengan terbuktinya jumlah (jangkitan baru) yang begitu mengejutkan lebih 6,000 pesakit semalam.

 Mukhriz Mahathir

"Dan kita juga dapat melihat darurat yang telah diisytiharkan ini tak berjaya mengekang penularan Covid-19.

"Maka dengan itu kita berasa peranan parlimen perlu dihidupkan semula supaya wujud semak dan imbang di mana kita boleh memastikan apa juga keputusan oleh kerajaan ini ialah keputusan yang memberikan manfaat kepada rakyat.

"Itulah keterangan yang saya berikan kepada pegawai penyiasat di IPD Dang Wangi sebentar tadi," katanya lagi.

Darurat berkuat kuasa sejak 11 Jan dan dijadualkan tamat 1 Ogos nanti. Dalam tempoh berkenaan, sidang Dewan Rakyat dan DUN digantung.

Siasatan pihak berkuasa terhadap perhimpunan aman di negara ini mendapat kritikan banyak pihak, termasuk pembangkang dan NGO hak asasi manusia antarabangsa Human Rights Watch (HRW) yang didakwa mereka mencabul kebebasan bersuara.

Mereka turut mengkritik siasatan terhadap penyiaran karya satira pereka grafik Fahmi Reza, kartun Zunar dan petugas Malaysiakini dalam isu kematian penjual susu lembu A Ganapathy ketika dalam tahanan polis.

Lihat Komen
ADS