Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKPD di beberapa mukim, lokaliti di 6 negeri mulai 22 Mei
Diterbitkan:  May 20, 2021 6:44 PM
Dikemaskini: 1:04 PM

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa mukim dan lokaliti di enam negeri melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak mulai 22 Mei hingga 4 Jun depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPD ini susulan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di kawasan berkenaan.

"Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di 15 mukim dalam daerah Besut, Terengganu yang melibatkan Kampung Raja, Keluang, Lubuk Kawah, Bukit Kenak, Pelagat, Jabi, Tembila, Kerandang, Bukit Puteri, Pengkalan Nangka, Kuala Besut, Pasir Akar, Kubang Bemban, Tenang, Hulu Besut.

"KKM mengesahkan sembilan daripada 17 kluster aktif di Terengganu melibatkan daerah Besut yang telah menyumbang kepada peningkatan kes COVID-19 di negeri ini dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dalam komuniti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai pelaksanaan PKPD di Pahang, Ismail Sabri berkata ia melibatkan Rumah Banjir Kuala Teh di Jerantut dan KKM hari ini turut melaporkan peningkatan kes secara mendadak di lokaliti berkenaan.

"Sebanyak lapan kes positif direkodkan hasil daripada 22 ujian saringan bergejala dengan kadar positiviti 36.36 peratus. Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas penduduk yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan Covid-19 ke kawasan lain,” katanya.

Bagi pelaksanaan PKPD di Kelantan, Ismail Sabri berkata ia melibatkan Kampung Terusan, Mukim Limbat, Pasir Tumboh di Kota Bharu dan Kepulauan Tumpat, Mukim Sungai Pinang di Tumpat.

Sementara itu, mengenai PKPD di Perak, Ismail Sabri berkata ia melibatkan empat mukim iaitu daerah Hulu Perak di mukim Pengkalan Hulu; daerah Larut, Matang dan Selama (mukim Taiping); daerah Kinta (mukim Hulu Kinta meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan) dan daerah Muallim (mukim Hulu Bernam Timur).

Ismail Sabri berkata, bagi pelaksanaan PKPD di Sabah pula, ia melibatkan Kampung Idani di Semporna, Kampung Pisang di Tawau dan Kampung Getah, Kampung Getah Tengah dan Taman Kunak Jaya di Kunak.

Mengenai pelaksanaan PKPD di Sarawak yang melibatkan Kampung Boyan di Kuching, Ismail Sabri berkata KKM melaporkan berlaku peningkatan mendadak di lokaliti ini apabila sebanyak 34 kes telah direkodkan hasil daripada 171 ujian saringan dilakukan KKM.

Ismail Sabri turut memaklumkan PKPD di tujuh lokaliti di Sempalit iaitu Kampung Baru Sempalit, Taman Sempalit Aman, Taman Emas Baru, Taman Sempalit Indah, Taman Sempalit Jaya, Taman Sempalit Baru dan Taman Emas di Raub, Pahang yang dijadual tamat esok (21 Mei) dilanjutkan mulai 22 Mei hingga 4 Jun depan.

Beliau berkata PKPD yang dijadualkan tamat esok turut dilanjutkan mulai 22 Mei hingga 4 Jun depan di 16 lokaliti di Sungai Ruan, Raub, Pahang kerana KKM mengesahkan masih terdapat penularan berterusan di kawasan PKPD dengan kadar kebolehjangkitan masih tinggi.

PKPD di Sekolah Menengah Ugama Pantai Manis, Papar, Sabah yang dijadulkan tamat hari ini, juga dilanjutkan mulai esok hingga 3 Jun depan selepas KKM mengesahkan masih berlaku penularan serta terdapat 202 lagi sampel ujian menunggu keputusan, katanya.

Mengenai operasi pasukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seramai 495 individu ditahan kerana ingkar SOP PKP semalam, dengan 468 daripadanya dikenakan kompaun manakala 27 lagi direman.

Antara kesalahan termasuk gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis melibatkan 143 individu, tidak memakai pelitup muka (126), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (84), tiada penjarakan fizikal (47), aktiviti pusat hiburan (15), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (lapan) dan 72 lain-lain kesalahan.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS