Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penerima AstraZeneca 'tak cukup dos' dapat suntikan tambahan

Seorang lelaki yang mendapat dos vaksin AstraZeneca yang dikurangkan diberi "tambahan dos" selepas dia membangkitkan masalah itu kepada pihak berkuasa.

Danial Abrar Bestari Abrar pertama kali pergi ke World Trade Center di Kuala Lumpur pada 19 Mei untuk mendapat suntikan vaksin.

Dia tidak sedar dia telah diberikan kurang daripada 0.5ml yang sepatutnya diterima sehinggalah dia membaca hal itu terjadi kepada orang lain.

Dia kemudian pergi ke pusat pengambilan vaksin itu untuk kali kedua pada 21 Mei dan diberitahu untuk menghubungi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan.

Setelah berulang-alik, Danial akhirnya mendapat dos tambahan pada hari yang sama.

Tunangnya, Siti Sarah Saiful Anwar kemudian membuat ciapan di Twitter, berkata kepada sesiapa yang percaya mereka menerima tidak cukup dos vaksin AstraZeneca boleh menghubungi pihak ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) yang merupakan anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia, bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

Terdapat tiga cara untuk menghubungi syarikat ini:

Melalui telefon di talian 03 8687 2525 atau 03 8687 2588.

Melalui email: [email protected].

Melalui saluran media sosial ProtectHealth di Twitter, Facebook dan Instagram.

Komen rasmi minggu depan

Danial adalah kes ketiga penerima tidak mendapat dos vaksin mencukupi selepas Anoogrehan Manoharan dan seorang wanita yang menyiarkannya di Instagram.

Ketiga-tiga mereka mendapat suntikan vaksin AstraZeneca di World Trade Center pada 19 Mei.

Tidak diketahui berapa ramai orang yang berpotensi menerima dos yang kurang atau bagaimana orang ramai dapat memeriksa sekiranya mereka telah menerima dos yang cukup.

Dos 0.5 ml vaksin AstraZeneca akan mengisi sedikit daripada separuh ukuran picagari 1ml yang biasanya digunakan untuk menyuntik vaksin Covid-19.

Pihak terlibat pemberian vaksin AstraZeneca termasuk JKJAV, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF)(CITF), ProtectHealth dan kumpulan kesihatan swasta BP Healthcare.

Ketika dihubungi, pembantu Pengerusi Bersama JKJAV dan Menteri Penyelaras CITF, Khairy Jamaluddin berkata, siasatan mengenai kes penerima vaksin dapat dos kurang masih berjalan.

Kenyataan rasmi mengenai perkara itu dijangka dikeluarkan awal minggu depan.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba yang juga pengerusi bersama JKJAV masih belum menjawab soalan Malaysiakini mengenai perkara itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, yang juga ahli lembaga ProtectHealth, meminta merujuk perkara tersebut kepada JKJAV atau CITF.

Sementara itu, wakil dari BP Healthcare menyarankan Malaysiakini untuk menghubungi ProtectHealth dan CITF.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS