Ketua Umno cawangan Kampung Darat, dalam bahagian Kubang Pasu, Ibrahim Ariffin, mengadu beliau telah 'dikuarantin' selama enam hari sebelum pemilihan perwakilan bahagian berkenaan bagi menghalangnya menghadiri majlis bersama bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Ibrahim mendakwa, arahan tersebut dikeluarkan oleh 'majikannya' Yayasan Tekun Nasional (Tekun) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana dia dikenalpasti sebagai penyokong kuat Dr Mahathir.

Ketika dihubungi malaysiakini hari ini, Ibrahim yang juga ahli jawatankuasa Pemuda Umno bahagian Kubang Pasu. berkata, beliau hanya dibolehkan pergi bekerja di pejabatnya di Sungai Petani sahaja.

Ibrahim telah membuat aduan tersebut kepada Lembaga Disiplin Umno Jumaat lalu.

Beliau adalah antara lima ahli Umno bahagian berkenaan yang turut membuat aduan kepada lembaga tersebut bersabit dakwaan berlaku politik wang, campurtangan orang luar dan ugutan dalam proses pemilihan perwakilan bahagian tersebut pada 9 September lalu.

Empat ahli berkenaan ialah ahli Umno Kampung Lembah Arang, Aminuddin Omar; ahli Umno cawangan Kampung Biak, Ismail Taib; Ketua Pemuda Umno cawangan Kampung Darat, Nor Mohamad Darus dan Setiausaha Umno cawangan Kampung Kemunting, Rozi Razak.

Kelima-lima mereka merupakan perwakilan ke mesyuarat bahagian berkenaan. Aduan mereka telah diserahkan kepada Setiausaha Lembaga Disiplin Umno, Jamaluddin Aziz di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur.

Menurut Ibrahim lagi, pegawai atasan Tekun melarang beliau menghadiri majlis bersama Dr Mahathir dari 3 September hingga hari mesyuarat pemilihan Umno Kubang Pasu 9 September.

Diberi amaran

Dalam pemilihan tersebut, Dr Mahathir memperolehi 227 undi di tempat kesembilan dan gagal terpilih sebagai perwakilan ke perhimpunan agung Umno November depan. Bagaimanapun, anaknya, Datuk Mukhriz terpilih.

Setiap bahagian menghantar 13 perwakilan tujuh orang dipilih dalam mesyuarat bahagian dan enam lagi terdiri daripada pemegang jawatan utama di peringkat bahagian.

"Saya tidak dikurung tetapi 'dikuarantinkan'. Saya boleh pergi ke pejabat Tekun di Sungai Petani tetapi tidak boleh menyertai kumpulan Tun Dr Mahathir," kata Ibrahim.

"Pegawai Tekun dari Putrajaya berjumpa sendiri dengan saya untuk menyampaikan amaran tersebut. Jika saya berdegil mereka tidak bertanggungjawab dengan kontrak kerja saya," katanya.

Beliau mendakwa, Umno bahagian Kubang Pasu bertanggungjawab mengarahkan pegawai Tekun memberi amaran tersebut.

Ibrahim mengaku beliau merupakan penyokong kuat Dr Mahathir sejak sekian lama.

Ditanya mengapa beliau tidak membuat aduan kepada Pejabat Umno Kubang Pasu, Ibrahim berkata: "Saya tidak percaya kepada ketelusan mereka (Umno bahagian).

"Saya membuat aduan ini kerana menyahut seruan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahukan aduan rasmi mengenai politik wang dan salahlaku dalam mesyuarat pemilihan Umno Kubang Pasu," katanya.

Sementara itu Setiausaha Umno bahagian Kubang Pasu, Samsuddin Ahmad menafikan Umno `mengurung' Ibrahim semasa pemilihan bahagian itu.

"Saya rasa beliau mengurungkan diri sendiri dan menuduh Umno mengurung beliau," katanya.