Lima ahli Umno Kubang Pasu yang membuat aduan kepada Ibu Pejabat Umno mengenai mesyuarat pemilihan Umno bahagian berkenaan 9 September lalu, adalah penyokong kuat anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mukhriz Mahathir, dakwa Setiausaha Umno bahagian tersebut, Samsuddin Ahmad.

Beliau mendakwa, kumpulan tersebut membuat aduan itu kerana kecewa Tun Dr Mahathir Mohamad kalah dalam pemilihan perwakilan ke perhimpunan agung Umno November depan.

"Jika Tun Dr Mahathir menang sebagai perwakilan, sudah tentu mereka tidak membuat aduan berkenaan," kata Samsudin.

Dalam pemilihan tersebut, Dr Mahathir memperolehi 227 undi di tempat kesembilan dan gagal terpilih sebagai perwakilan ke perhimpunan agung Umno November depan. Bagaimanapun, anaknya, Datuk Mukhriz terpilih.

Setiap bahagian menghantar 13 perwakilan tujuh orang dipilih dalam mesyuarat bahagian dan enam lagi terdiri daripada pemegang jawatan utama di peringkat bahagian.

"Kita tidak terkejut dengan tindakan kumpulan terbabit. Mereka orang yang kecewa dan membuat aduan kepada Ibu Pejabat Umno kerana Tun Dr Mahathir tidak terpilh menjadi G7," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Tidak dapat restu

Lima yang terbabit ialah ahli Umno Kampung Lembah Arang, Aminuddin Omar, ketua Umno Kampung Darat, Ibrahim Ariffin, ahli Umno cawangan Kampung Biak, Ismail Taib, Ketua Pemuda Umno cawangan Kampung Darat, Nor Mohamad Darus dan Setiausaha Umno cawangan Kampung Kemunting Rozi Razak.

Mereka telah membuat aduan tersebut kepada Lembaga Disiplin Umno Jumaat lalu.

Mereka mengemukakan lima aduan dua berkaitan politik wang, dua lagi mengenai campurtangan orang luar dan satu lagi berkaitan ugutan terhadap seorang perwakilan yang diarah supaya `berkurung' di rumah sepanjang pemilihan.

Sementara itu Samsuddin menjelaskan Aminuddin, Ismail dan Nor tidak boleh berkata mereka mewakili Umno cawangan masing-masing kerana tedak mendapat restu dari ketua cawangan untuk berbuat demikian.

Katanya, ketiga-tiga ketua Umno Kampung Lembah Arang, Kampung Biak dan Kampung Darat mengadu bahawa mereka tidak setuju dengan tindakan Aminuddin, Ismail dan Nor membuat aduan kepada Ibu Pejabat Umno.

"Mereka membuat aduan secara persendirian dan ini bermakna mereka tidak boleh mewakili kampung masing-masing," katanya lagi.

'Kurung diri sendiri'

Samsuddin juga menafikan Umno `mengurung' kakitangan kontrak Yayasan Tekun Malaysia iaitu Ibrahim Ariffin semasa pemilihan bahagian baru-baru ini.

"Saya rasa beliau mengurungkan diri sendiri dan menuduh Umno mengurung beliau," katanya.

Samsuddin berkata, Ibu Pejabat Umno mempunyai kuasa untuk menyiasat aduan yang dibuat oleh lima ahli cawangan Umno dalam bahagian Kubang Pasu yang mendakwa mesyuarat perwakilan bahagian 9 September lalu.

"Perlembagaan Umno menyebut aduan boleh dibuat dalam tempoh seminggu selepas pemilihan berakhir. Tetapi Ibu Pejabat Umno mempunyai kuasa untuk membuka semula kes tersebut dan Umno Kubang pasu tidak boleh menghalangnya," katanya.

Beliau menjelaskan Umno Kubang Pasu tidak pernah menerima aduan dari kelima-lima ahli terbabit kerana mereka menghantar terus kepada Ibu Pejabat parti di Kuala Lumpur.