Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Balak besar Terengganu dikeluarkan secara sah, hutan akan dibangunkan’
Diterbitkan:  May 25, 2021 1:25 PM
Dikemaskini: 6:00 AM

Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu menegaskan hasil balak bersaiz besar yang tular sejak kelmarin dikeluarkan secara sah.

Pengarahnya Roslan Rani berkata, ia dikeluarkan dari kompartmen 80, Hutan Simpan Sungai Nipah, Kemaman dan diluluskan pada tahun 2017.

Jelasnya, pengeluaran itu sebenarnya dirancang untuk dibangunkan kawasan berkenaan ketika itu.

"Lesen pula berkuatkuasa pada Ogos 2019 hingga Ogos 2020 dan diberi pelanjutan sehingga April tahun ini untuk tujuan berkenaan.

"Kelulusan kawasan dan berkuatkuasa lesen adalah perkara berbeza, ini perlu difahami semua pihak dengan teliti, bagi isu ini kawasan itu diluluskan untuk aktiviti pembalakan pada 2017 kemudian lesen syarikat terbabit berkuatkuasa pada 2019," katanya dalam kenyataan disiarkan Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri Terengganu, semalam.

Roslan Rani 

Roslan bagaimanapun tidak menghuraikan lanjut bagaimana hutan simpan itu akan dibangunkan.

Terdahulu, Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP) bertindak atas aduan orang ramai terhadap sebuah lori treler yang mengangkut balak besar yang "mencurigakan" di kawasan rehat Lebuh Raya Pantai Timur menghala Barat, di Temerloh Pahang, kelmarin.

Mengulas hantaran Facebook bekas calon bebas Temerloh Khaidir Ahmad yang mula-mula mengetengahkan perkata itu, PPNB mengatakan mendapati kayu itu tidak diambil dari mana-mana kawasan hutan di Pahang.

Sebaliknya, kata jabatan itu, lori dan pemindahan balak itu dinyatakan dalam pas pemindah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.

'Balak 500 tahun, chengal hampir pupus'

Khaidir berkata, berdasarkan pemerhatian peribadinya, Khaidir berkata balak itu berasal daripada pokok chengal yang dianggarkan berusia sekurang-kurangnya 500 tahun.

Katanya, pokok itu seharusnya tidak ditebang dan perlu dilindungi sebagai khazanah untuk generasi akan datang memandangkan chengal hampir pupus di Malaysia.

Khaidir Ahmad 

Sementara itu Roslan berkata, dakwaan mengatakan kayu balak itu tidak dikenakan cukai kerana Balai Pemeriksaan Hutan ditutup pada Ahad, adalah tidak berasas.

Menurutnya, balai pemeriksaan hutan negeri itu dibuka pada hari tersebut bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan penafsiran cukai dibuat di Balai Pemeriksaan Durian Mas, Dungun.

Katanya lagi, kayu tersebut juga diambil daripada kawasan usaha hasil berlesen dan telah dibuat pemindahan mengikut peraturan yang berkuat kuasa.

"Kayu tersebut adalah dari kawasan lesen, kompartmen 80, Hutan Simpan Sungai Nipah, ia dibawa keluar melalui kawasan lesen ke Kilang Papan Lanjut Edaran, Durian Mas, Dungun melalui Balai Pemeriksaan Hutan Air putih melibatkan empat Pas Pemindah.

"Pada 10 Mei 2021, satu permohonan telah dibuat oleh pelesen Syarikat Zee Utuh Enterprise kepada Pejabat Hutan Daerah Terengganu Selatan untuk memindahkan kayu itu ke Kilang Hong Seng Sawmil co,di Rawang, permohonan itu diluluskan pada 18 Mei.

"Berpandukan itu, empat tual balak berkenaan telah dikeluarkan melalui satu Pas Pemindah di Balai Pemeriksan Durian Mas pada 23 Mei 2021, lori pengangkutan balak bernombor pendaftaran BQB 5512," jelasnya.

Mohd Nor Hamzah

Dalam perkembangan sama, Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan tidak boleh membatalkan kelulusan itu kerana syarikat terlibat telah mengeluarkan perbelanjaan untuk pelbagai perkara berkaitan.

"Jika dibatalkan kerajaan negeri boleh disaman atau diambil tindakan undang-undang, termasuk terdedah dengan isu integriti dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh siasat kenapa ia dibatalkan," jelasnya dipetik sebagai berkata.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS