Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tajuddin akui silap berseloroh ketika sidang media tragedi LRT - Najib
Diterbitkan:  May 26, 2021 3:50 PM
Dikemaskini: 8:06 AM

Pengerusi Prasarana Berhad (Prasarana), Tajuddin Abdul Rahman mengakui melakukan kesilapan ketika mengendalikan sidang media baru-baru ini, kata bekas presiden Umno, Najib Razak.

Perkara itu dimaklumkan Najib selepas dia menghubungi Tajuddin apabila kejadian itu tular di media sosial.

"Beliau mengaku buat kesilapan dalam sidang media mengenai kemalangan LRT.

"Justeru, beliau menerima nasihat serta teguran saya untuk meminta maaf atas cara pengendalian sidang media sebab tragedi di mana ramai cedera parah dan bukannya masa untuk berseloroh.

"Dia akui, dia tak sepatutnya mengendalikan sidang media sebegitu rupa. Dia sendiri akui, sidang media itu sepatutnya dikendalikan dengan lebih baik dan penuh empati serta maklumat," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Selain itu Najib berkata Tajuddin juga akan meminta maaf kepada wartawan yang hadir dalam sidang media itu terutama wartawan dari Phoenix TV.

Semalam wartawan asing itu bertanya kepada Tajuddin mengenai langkah-langkah yang diambil bagi memastikan penumpang yang terlibat selamat daripada jangkitan Covid-19.

Tajuddin membalas dengan mengatakan wartawan tidak boleh membuat andaian, dan kemudian bertanya dari mana mana wartawan itu datang.

Apabila dijawab wartawan tersebut, Tajuddin mengatakan: "China. .tak hairanlah"

Sebelum itu, ketika menjawab pertanyaan wartawan mengenai situasi di bawah terowong LRT berkenaan, Tajuddin berkata "normal ... hanya dua tren bersama, saling bercium ..." dan kemudian ketawa kecil.

Cara Tajuddin mengendalikan sidang media itu kemudiannya mengudang gesaan agar dia berundur daripada Prasarana.

Mengulas mengenai perkara itu, Najib berkata Tajuddin berjanji akan meletak jawatan sebaik sahaja Majlis Tertinggi (MT) Umno mengarahkan semua ahli Umno meletak jawatan pada masa yang sesuai.

Ini katanya, berdasarkan keputusan yang dibuat pada Perhimpunan Agung Umno yang lalu.

Selain itu Najib berkata Tajuddin turut memaklumkan akan menaikkan jumlah bantuan RM1,000 kepada mangsa tragedi kemalangan tren baru-baru ini kepada satu jumlah yang bakal ditetapkan.

Katanya, Prasarana juga akan membantu individu terbabit untuk menuntut pampasan daripada Perkeso bagi meringankan beban mereka.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, Tajuddin turut berjanji akan memastikan siasatan penuh untuk mengetahui punca tragedi.

"Dia tidak akan menyorok sebarang maklumat atau melindungi sesiapa serta memastikan penambah baik SOP keselamatan akan dilaksanakan secepat mungkin agar tragedi seumpama ini tidak berulang," katanya lagi.

Pada malam Isnin lalu, dua tren LRT bertembung - mengakibatkan 64 orang dikejarkan ke hospital - enam daripadanya dalam keadaan kritikal.

Tidak seperti Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong yang turun padang pada malam itu, Tajuddin hanya dilihat berada di lokasi kejadian pada keesokan harinya.

Lihat Komen
ADS