Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azalina cadang 'kerajaan darurat sementara' libatkan semua parti
Diterbitkan:  May 27, 2021 12:52 PM
Dikemaskini: 6:19 AM

Azalina Othman Said mencadangkan Dewan Rakyat kembali bersidang kerana menganggap ia “satu-satunya cara untuk Malaysia melangkah ke depan” bagi menangani Covid-19.

Bagaimanapun, kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu, bagi mengelakkan “drama yang tidak diingini” dia mencadangkan tiada usul undi tidak percaya dibawa sehinggalah pandemik berjaya dikawal dan imuniti kelompak mencapai tahap 50 peratus.

“...tiada pilihan raya umum patut diadakan, sebaliknya kerajaan darurat sementara dengan kabinet darurat harus dibentuk, dengan wakil-wakil dari seluruh parti politik,” katanya dalam kenyataan bertajuk “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih" hari ini.

Tambah anggota parlimen Pengerang itu lagi untuk memastikan syarat korum mencukupi bagi sidang itu dijalankan, ruang yang ada pada Dewan Rakyat dan Dewan Negara cukup besar bagi memastikan penjarakan fizikal dapat dilaksanakan.

Pada Jan lalu, Azalina menolak gesaan Umno supaya ahli Parlimen menyatakan sokongan agar sidang parlimen diadakan segera berhubung proklamasi darurat.

Kata Azalina dia tidak bersetuju dengan permintaan partinya itu kerana terdapat isu perundangan yang wajar dipertimbangkan terutama membabitkan kuasa dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Pada 24 Feb, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan pandangan bahawa parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa.

Justeru Agong menunggu nasihat daripada kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin untuk mengadakan sidang tersebut.


Baca: Kenyataan penuh Azalina


Kata Azlina sidang parlimen ketika ini boleh diadakan secara maya dengan memanfaatkan kemajuan teknologi yang ada.

"Untuk memastikan proses persidangan parlimen yang efisien, melaburlah untuk menyediakan parlimen maya dan dan ucapan ke sistem teks.

"Ianya bukan mahal, malah aplikasi Zoom menyediakan pilihan mengundi untuk memudahkan proses pengundian (di Parlimen).

"Dan saya dengan senang hati menggunakan fungsi senyap (mute) untuk menghentikan kesalahan ahli parlimen yang terlalu banyak bercakap," katanya lagi.

Selain itu Azlina berkata jurang ideologi politik dan ahli parlimen harus ditamatkan dan mereka perlu bekerjasama sebagai satu "kumpulan Malaysia".

Katanya, semua ahli parlimen perlu dilengkapkan dengan pengetahuan berhubung Covid-19 bagi meningkatkan kesedaran kepada rakyat.

"Bekerja sebagai satu team Malaysia untuk mengurangkan 'krisis keyakinan' yang mengaburkan negara.

"Untuk merapatkan 'defisit kepercayaan' antara rakyat dan pentadbir (kerajaan). (Sila!!!) gunakan kami - anggota parlimen - yang dipilih secara berperlembagaan sebagai ejen komunikasi dan kesihatan awam bagi menyebar maklumat.

"Lengkapkan kami dengan semua maklumat kesihatan yang diperlukan dan data mengenai Covid-19," katanya.

Lihat Komen
ADS