Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes bunuh T Nhaveen: Saksi kenal pasti 3 lagi suspek

Seorang saksi dalam kes pembunuhan T Nhaveen hari ini mengenal pasti tiga lagi individu yang didakwa terlibat dalam pembunuhan remaja itu empat tahun lalu.

Menurut aktivis Arun Dorasamy, saksi - T Previin - dipanggil ke balai polis Jelutong di Pulau Pinang di mana suspek ditahan oleh polis.

Jelas Arun, ketiga-tiga lelaki berusia antara 23 dan 27 tahun itu ditangkap secara berasingan pada hari Sabtu dan Isnin, untuk membantu siasatan terhadap pembunuhan pada Jun 2017.

"Previin telah mengenal pasti tiga individu hari ini semasa pengecaman di balai polis.

"Keseluruhan proses termasuk rakaman keterangan lanjut dari saksi memakan masa kira-kira satu jam setengah," kata Arun ketika dihubungi Malaysiakini.

Arun adalah sebahagian daripada kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Nhaveen Action League, yang berusaha mencari keadilan bagi mangsa itu yang meninggal pada usia 17 tahun.

Nhaveen dilaporkan diserang oleh lima remaja yang memukulnya dengan topi keledar. Dia ditemui di ladang berhampiran rumahnya di Jalan Kaki Bukit di Bukit Gelugor, George Town, Pulau Pinang.

Dia dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang dan meninggal dunia pada jam 6 petang 15 Jun 2017, semasa menerima rawatan.

Previin diserang bersama Nhaveen dalam kejadian 9 Jun, tetapi berjaya melarikan diri dengan kecederaan serius di wajahnya.

Berikutan kejadian itu, polis telah menahan lima individu untuk membantu siasatan.

Empat daripada mereka - semua bekas rakan sekolah mediang - kini menghadapi tuduhan membunuh di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Sementara itu, mengenai ugutan bunuh yang diterima Previin baru-baru ini, Arun mengatakan polis telah menyarankan agar Previin meminta untuk mendaftar dalam program perlindungan saksi kerajaan.

Namun, menurut aktivis itu, mereka percaya bahawa ia hanya boleh digunakan sebagai jalan terakhir.

"Perlindungan saksi harus digunakan hanya sebagai pilihan terakhir, bukan sebagai pilihan pertama.

"Kita tidak boleh menghukum korban. Kerana mendaftar dalam program itu, seseorang harus mengubah identitinya. Ia hampir seperti 'buang negeri', dia harus meninggalkan keluarganya dan seumpamanya," katanya.

Namun, menurut Arun, pilihannya masih terbuka dan jika Previin merasa bahawa nyawanya terancam, mereka dapat membuat permohonan untuk program tersebut.

TAMAT

Lihat Komen
ADS