Paling Popular
Terkini

Kadar pendaftaran vaksin Covid-19 bagi golongan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas dilihat agak perlahan dan kurang mendapat sambutan atas beberapa faktor.

Faktor seperti masalah pengangkutan, kesihatan yang tidak mengizinkan dan kurang pengetahuan berkenaan vaksin dalam kalangan golongan ini merupakan antara faktor yang dikaitkan.

Seorang warga emas, Mek Nab Said, 81, yang tinggal seorang diri mengakui dia tidak mengetahui sebarang maklumat mengenai vaksin serta mempunyai masalah pengangkutan untuk pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Dia yang tinggal di Kampung Serian, Kota Bharu, di Kelantan berkata jika dia tahu dan diberi peluang mengambil vaksin, dia akan terima sukarela.

“Saya tak tahu apa-apa mengenai vaksin ini. Tiada orang pernah cakap atau sampaikan kepada saya. Saya hanya tahu yang sekarang ada penyakit Covid-19 sedang menular. Tetapi untuk vaksin, saya tak tahu apa apa.

“Lagipun, saya hanya tinggal seorang diri kerana anak-anak kerja di luar. Kalau pihak hospital datang untuk beri penerangan dan suntikan vaksin ke rumah, mungkin saya akan ambil sebab nak ke hospital pun saya tidak punya kenderaan.

"Saya nak vaksin kalau ia bagus tapi (saya) susah untuk bergerak,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Semalam, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Dr Zaini Husin berkata hanya seramai 66,314 orang daripada 125,744 individu berumur 60 tahun ke atas yang layak menerima suntikan vaksin bagi fasa kedua program imunisasi di Kelantan telah mendaftar sebagai penerima vaksin dengan MySejahtera.

Terdahulu pada 24 Mei lalu, Malaysiakini juga ada melaporkan hampir 10,000 penduduk di Kelantan khususnya golongan warga emas (berusia 60 tahun ke atas) dikesan gagal hadir untuk menerima vaksin. 

Tidak tahu cara daftar

Sementara itu, seorang lagi warga emas, Mah Abdul Rahman, 75, berkata dia ada mendengar orang kampung bercakap tentang vaksin, tetapi dia tidak tahu bagaimana cara untuk mendaftar di saluran yang betul.

“Ada saya mendengar orang kampung bercakap tentang vaksin ini, tetapi, saya tidak mempunyai telefon untuk daftar di saluran yang betul.

“Maklumlah, dengan usia saya, saya tidak begitu arif tentang perkara sebegini. Sedangkan telefon pun saya tidak ada, ini kan pula untuk mendaftarnya,” katanya.

Mah Abdul Rahman.

Tambahnya lagi, masalah pengangkutan juga merupakan faktor dia tidak mendaftar sebagai penerima vaksin.

“Saya hanya mampu berjalan di sekitar kampung sahaja sebab tiada pengangkutan dan buat masa sekarang, saya takut untuk keluar kerana penyakit ini (Covid-19).

“Saya ibu tunggal dan mempunyai seorang anak sahaja. Anak saya pula bekerja di luar Kelantan, jadi agak susah untuk saya tumpang orang kalau nanti saya daftar dan perlu pergi ke tempat vaksin,” jelasnya.

Bagi Mah Hussin, 75, yang tinggal di Kampung Wakaf Tok Wali, Kota Bharu, dia mengakui bahawa masalah kesihatan merupakan salah satu faktor dia tidak mendaftar untuk pengambilan vaksin.

Katanya, jika dia perlu ke PPV, dia tidak berdaya untuk pergi ke pusat vaksinansi dan menunggu lama untuk giliran suntik vaksin atas faktor kesihatan.

Mah Hussin

“Usia saya sudah mencapai 75 tahun, saya tak larat untuk pergi ke hospital kerana saya mudah letih dan ada beberapa penyakit seperti semput.

“Kalau pihak hospital boleh datang dan cucuk vaksin di rumah untuk golongan seperti saya ini, mungkin itu lebih memudahkan kami memandangkan anak saya juga kerja kilang dan susah untuk dapat cuti bagi menemani saya,” jelasnya.

Sementara itu seorang warga emas, Mohd Nor Abd Rahman, 73, yang tinggal bersama isterinya, Bidah Daud, 75, turut menyatakan dia mempunyai masalah pengangkutan untuk ke PPV.

Katanya, masalah seperti ketiadaan telefon pintar untuk pendaftaran juga menyumbang kepada faktor utama dia dan isterinya tidak mampu untuk mendaftar.

Mohd Nor Abdul Rahman dan isterinya, Bidah Daud.

“Kalau boleh, kami nak vaksin ni sebab dengar orang cakap vaksin bagus. Tetapi, kami tiada telefon pintar untuk mendaftar dan kenderaaan untuk pergi ke pusat vaksinasi,” katanya.

Tambahnya lagi, isterinya, Bidah Daud, 75 merupakan seorang tukang sapu di Kilinik Desa Kampung Aril dan mungkin terdedah dengan orang ramai ketika bekerja.

“Macam isteri saya ni, dia kerja sebagai tukang sapu dan hanya pergi bekerja dengan berjalan ke klinik disebabkan tiada kenderaan. Semasa bekerja pula, sudah pasti dia terdedah dengan orang ramai yang kita tidak tahu ada penyakit ke tidak.

“Jadi, kalau pihak kerajaan boleh sediakan perkhidmatan yang boleh membantu golongan kami seperti vaksin ke rumah, kami akan terima,” jelasnya lagi.

Lihat Komen
ADS