Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kalau Santhara nak saman, samanlah semua rakyat Malaysia'
Diterbitkan:  May 28, 2021 4:57 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran menyifatkan tuntutan saman yang dihantar oleh Edmund Santhara Kumar Ramanaidu kepadanya sebagai tindakan buli.

Prabakaran berkata, dia menerima surat saman itu pada 25 Mei lalu susulan kritikannya terhadap timbalan menteri wilayah itu kerana bercuti selama 55 hari ke luar negara.

"Saya sebenarnya hanya mengkritik seperti mana orang awam yang lain dan juga banyak lagi ahli politik yang membuat banyak kenyataan untuk mengkritik timbalan menteri itu ekoran lawatannya ke New Zealand. Tapi saya disaman.

"Jadi, saya anggap perbuatan timbalan menteri ini hanya membuli, menekan dan menakutkan saya, supaya tidak bangkitkan apa-apa atau bertanyakan apa-apa isu," katanya dalam sidang media secara langsung di laman Facebooknya hari ini.

Oleh demikian Prabakaran yang juga Ketua Pemuda PKR (AMK) Wilayah berikrar akan melawan saman tersebut di mahkamah

"Kalau awak nak saman mereka yang suarakan ketidakpuasan hati kepada kerajaan atau mana-mana menteri atau timbalan menteri, saman ini bukan satu penyelesaian dan kalau nak saman, samanlah semua orang dalam Malaysia ini.

"Kalau saya sebagai seorang ahli Parlimen tak boleh bersuara, tak boleh kritik seorang timbalan menteri, rakyat pun tak boleh, siapa yang boleh?" katanya yang akan berbincang dengan peguam untuk menjawab notis saman berkenaan.

Terdahulu, Prabakaran memaklumkan dia menerima notis saman daripada Santhara berhubung kenyataan yang dibuatnya pada Mac lalu yang meminta penjelasan lanjut daripada timbalan menteri itu berhubung percutiannya ke luar negara.

Sebelum ini Santhara menjelaskan permohonan cuti selama 55 hari bagi melawat keluarganya di New Zealand itu disokong oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa sebelum diluluskan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin pada Disember tahun lalu.

Santhara juga memaklumkan telah mematuhi prosedur Jabatan Imigresen Malaysia supaya memohon kebenaran untuk keluar negara (MyTravelPass) secara dalam talian selain menjalani tempoh kuarantin seperti ditetapkan oleh negara berkenaan.

Merujuk kepada notis saman terbabit, Prabakaran berkata dia didakwa telah merosakkan nama Santhara sebagai timbalan menteri, ahli parlimen serta ahli perniagaan.

Santhara juga membuat tiga tuntutan daripada Prabakaran iaitu permohonan maaf secara terbuka dan menyiarkannya di tiga agensi berita, membuat surat pengakuan bahawa dirinya tidak akan lagi menyebut atau membangkitkan perkara tersebut serta membayar ganti rugi sebanyak RM20 juta.

Lihat Komen
ADS