Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Takiyuddin tawar sagu hati RM20 bagi penerima vaksin di Kota Bharu
Diterbitkan:  May 28, 2021 5:17 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan menawarkan insentif sebanyak RM20 kepada warga Kota Bharu yang mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Insentif sagu hati itu katanya sebagai galakan untuk warga Kota Bharu khususnya bagi pengundi dalam kawasan parlimen berkenaan.

"Khusus untuk warga Kota Bharu...Pakat-pakat uar-uarkan dan sebenarkan untuk semua rakyat," tulis Takiyuddin dalam satu hantaran di Facebooknya.

Berdasarkan poster yang dipaparkan, syarat-syarat yang ditetapkan bagi mendapatkan sagu hati berkenaan mestilah terdiri daripada pengundi dalam parlimen Kota Bharu.

Mereka juga dikehendaki membawa bersama kad pengenalan dan menunjukkan bukti pengesahan suntikan vaksin bagi mendapatkan pemberian tunai itu.

Tuntutan boleh dibuat di pejabat pusat khidmat ahli parlimen berkenaan bermula 30 Mei ini.

Malaysiakini difahamkan, Takiyuddin merupakan ahli parlimen pertama menawarkan insentif wang tunai bagi menggalakkan orang ramai mengambil suntikan vaksin.

Pada 24 Mei lalu, Malaysiakini melaporkan hampir 10,000 penduduk di Kelantan khususnya golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas gagal menghadirkan diri untuk menerima vaksin sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Zaini Hussin berkata antara punca ketidakhadiran mereka adalah disebabkan masalah kesihatan.

Menurutnya, terdapat juga di kalangan mereka yang tidak dapat hadir disebabkan masalah peribadi dan menunda ke tarikh lain.

Lihat Komen
ADS