Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Umno, pembangkang gesa parlimen bersidang meskipun 'total lockdown'

Parlimen perlu bersidang bagi mencari penyelesaian kepada kemelut yang dihadapi negara ketika ini selepas darurat gagal menentukan formula terbaik bagi membendung wabak Covid-19.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Razlan Rafii, berkata parlimen adalah jalan terbaik untuk kerajaan membentangkan perancangan mereka.

"Kerajaan harus mencari lebih banyak pandangan dan berbincang untuk selesaikan masalah Covid, walaupun sudah laksanakan total lockdown.

"Parlimen adalah jalan terbaik untuk kerajaan membentangkan perancangan mereka untuk menyelesaikan masalah kehidupan rakyat malaysia.

"Kita ada banyak perkara yang perlu dilihat, seperti ekonomi, sosial dan juga bajet," katanya kepada Malaysiakini.

Kelmarin Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azalina Othman Said menggesa kerajaan memanggil sidang Parlimen.

Dia turut menyertakan cadangan terperinci termasuk prosedur operasi standard (SOP) persidangan secara semuka dan virtual yang dilakukan di banyak negara.

Ahli Pengerang itu, berkata kerajaan tidak boleh melakukan proses "lockdown" ke atas proses demokrasi kerana itu hanya akan menafikan hak rakyat.

Sementara itu Pengerusi Parti Perjuangan Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Khairuddin Abu Hassan menyifatkan pelaksanaan proklamasi darurat gagal sepenuhnya.

"Di waktu 'lockdown' inilah parlimen harus dibuka. Proklamasi darurat sudah gagal 200 peratus. Parlimen wajib dibuka untuk persidangan bagi mendapatkan percambahan pendapat di kalangan wakil-wakil rakyat.

"Percambahan pendapat amat penting dan formula utama untuk mencari jalan penyelesaian terhadap situasi pandemik Covid serta kejatuhan ekonomi masa kini.

"Inilah fungsi parlimen bagi mendapatkan kepelbagaian pandangan dari semua pihak tidak kira kerajaan ataupun pembangkang," katanya.

Bagi Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid pula, parlimen sewajarnya bersidang kerana kerajaan telah membelanjakan sejumlah wang negara yang banyak dalam situasi Covid-19.

Katanya, wakil-wakil rakyat khususnya ahli Parlimen yang dipilih rakyat secara demokratik wajar mendapat perincian mengenai wang yang telah dibelanjakan serta strategi kerajaan menghadapi pandemik.

"Wakil-wakil rakyat wajar untuk mengetahui bukan saja perbelanjaan negara, tetapi juga hala tuju kerajaan bagi memerangi wabak Covid-19.

"Semua pihak seharusnya diberikan peluang untuk bersama memerangi wabak ini,"katanya.

'Negara dipacu cara kuku besi'

Timbalan Ketua Pemuda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman pula berpendapat terdapat keperluan mendesak supaya persidangan parlimen segera diadakan.

Ini kerana katanya, kerajaan yang ada hari ini sedang dipacu secara kuku besi.

"Tentunya ada keperluan malah keperluan yang sangat mendesak untuk perkara sepenting Covid dibahaskan di peringkat parlimen.

"Kerajaan sedang memacu negara ini dengan cara kuku besi tanpa amalan demokrasi dengan membuat keputusan-keputusan yang besar melibatkan rakyat," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan "total lockdown" secara berperingkat berkuatkuasa 1 Jun ini.

Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19. 

Pada 24 Feb lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan pandangan bahawa parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa.

Agong pada masa itu dilapor menunggu nasihat daripada kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin untuk mengadakan sidang tersebut.


Lihat Komen
ADS