mk-logo
Berita
Pakar bidas sanitasi awam, petik panduan terkini CDC
Diterbitkan:  May 30, 2021 10:16 PM
Dikemaskini: 2:24 PM

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) telah mengemas kini panduan mereka sejak April dengan tidak mengesyorkan keberkesanan sanitasi berskala besar sebagai langkah pencegahan Covid-19, kata pakar penyakit berjangkit Dr Adeeba Kamarulzaman hari ini.

“Memandangkan panduan CDC disebut … dikemas kini 14 April 2021,” katanya di Twitter.

Adeeba yang juga anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata demikian sebagai maklum balas terhadap laporan berita mengenai kegiatan sanitasi awam.

Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin serta Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohammad Hamdan Wahid mempertahankan sanitasi awam sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19.

Semalam, Adeeba berkata langkah sanitasi awam berskala besar merupakan satu pembaziran sumber dan boleh disalurkan secara lebih baik untuk pembelian alatan yang lebih diperlukan dalam perang melawan Covid-19.

Anggota Majlis Sains WHO Dr Adeeba Kamarulzaman.

Terdahulu hari ini, Hamdan menegaskan bahawa sanitasi awam yang dijalankan dibuat berdasarkan panduan CDC, seperti yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, operasi sanitasi awam di sesuatu kawasan melibatkan tiga faktor - iaitu nyahcemar, nyahjangkitan dan sanitasi awam.

Berdasarkan panduan yang dikemas kini itu, dalam kebanyakan situasi, mencuci permukaan menggunakan sabun atau detergen adalah memadai untuk mengurangkan sebarang kewujudan koronavirus.

Berbanding dengan amalan sanitasi awam yang menyasarkan premis terbuka termasuk pasar awam, CDC mengemas kini panduannya dengan menyatakan langkah nyahjangkitan (disinfection) disyorkan dibuat di latar tertutup yang lebih kecil (smaller indoor setting), apabila terdapatnya kes yang disyaki/disahkan dalam masa 24 jam.

Perunding pakar pediatrik Dr Amar Singh HSS turut berkongsi petikan tambahan daripada panduan CDC yang menyatakan bahawa penyemburan berskala besar atau fumigasi untuk virus Covid-19 atau patogen lain, tidak disyorkan dilakukan di ruang terbuka (outdoor spaces).

“Jalan dan kaki lima tak dianggap laluan/ saluran (routes) jangkitan Covid-19,” menurut panduan itu.

“Amalan ini akan menjadi tidak efektif memandangkan kewujudan kotoran atau sampah contohnya, (akan) menyahaktifkan bahan penyahjangkit, sementara pembersihan secara manual untuk menyingkirkan semua jirim secara fizikal adalah tidak mungkin dapat dilakukan.

“Ini akan menjadi lebih tidak efektif di permukaan poros seperti kaki lima dan laluan jalan kaki yang tidak berturap,” kata panduan itu lagi.

Adeeba dan Amar mengulang ciap kritikan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh terhadap Zuraida yang katanya degil kerana enggan mendegar nasihat pakar perubatan.

Pusingan terbaru sanitasi seluruh negara telah mengenal pasti 284 lokasi, kebanyakannya di Selangor.

Adalah dilaporkan bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerusi JBPM telah selesai menjalankan lebih 25,000 operasi sedemikian sejak Mac lalu. 

Lihat Komen
ADS