mk-logo
Berita
Semua kerja pembinaan dihenti, kecuali perkhidmatan kritikal
Diterbitkan:  May 31, 2021 12:03 AM
Dikemaskini: 4:12 PM

Semua kerja pembinaan di seluruh negara harus dihentikan sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh kecuali yang disenaraikan dalam perkhidmatan kritikal, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah menerusi kenyataan hari ini memaklumkan penyelenggaraan dan pembaikan kritikal adalah kerja yang boleh mendatangkan bahaya atau kemudaratan kepada pekerja, orang awam atau persekitaran sekiranya tidak diteruskan.

Beliau berkata ia meliputi penyelenggaraan dan pembaikan cerun, jalan raya, jambatan, kawalan pengurusan trafik dan lampu isyarat selain pemeriksaan berkala dan pembaikan lif, travelator, eskalator dan peralatan mekanikal serta elektrikal kritikal yang lain.

Katanya ia turut melibatkan pembaikan, penyelenggaraan dan naik taraf fasiliti di premis perkhidmatan kritikal serta kerja-kerja penyelenggaraan, pembersihan dan pengeringan air bertakung, penyemburan racun serangga di tapak bina bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes dan haiwan perosak lain.

Fadillah berkata pembaikan dan penyelenggaraan landasan kereta api serta projek rel, pembaikan kediaman perseorangan dan pembinaan jambatan Bailey di lokasi jambatan roboh turut tersenarai dalam pembinaan kritikal.

Katanya kerja-kerja pembinaan melibatkan infrastruktur awam utama dan kritikal pula meliputi terowong, cerun, jambatan dan jejambat serta lebuh raya yang disahkan mencapai kemajuan fizikal 80 peratus dan ke atas.

Infrastruktur awam lain termasuk Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), komuter, landasan tunggal/berkembar dan projek rel, infrastruktur berkaitan elektrik, telekomunikasi, empangan, saliran serta pembentungan, minyak dan gas.

Fadillah berkata kerja-kerja hospital yang disahkan mencapai kemajuan fizikal 80 peratus dan ke atas serta pembinaan bangunan yang mempunyai penginapan pekerja lengkap di tapak bina turut tersenarai.

"Kesemua kontraktor yang terlibat dengan projek-projek yang tersenarai perlu mendapatkan kelulusan baharu menerusi CIMS (Sistem Pengurusan Maklumat Setempat) CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia) di laman sesawang cims.cidb.gov.my untuk tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bermula 1 Jun 2021.

"Bagi syarikat perunding dan pembekal, permohonan kebenaran beroperasi perlu dibuat melalui kontraktor utama yang bertanggungjawab memasukkan maklumat semua syarikat perunding dan pembekal perkhidmatan yang berkaitan dengan projek berkenaan ke dalam sistem," katanya.

Fadillah berkata semua kelulusan sebelum ini tidak boleh diguna pakai dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh dan surat kebenaran yang dijana melalui sistem tersebut perlu dipamerkan di premis tapak binaan serta boleh digunakan sebagai kelulusan untuk pergerakan oleh pihak yang terlibat dengan projek itu.

Beliau juga berkata waktu beroperasi dan kehadiran pekerja yang dibenarkan adalah seperti biasa namun kapasiti pekerja dihadkan kepada 60 peratus sahaja.

Menurut Fadillah, antara langkah yang dikenakan bagi mengawal pergerakan pekerja pembinaan ialah semua pekerja di tapak pembinaan wajib menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum memulakan kerja serta tidak dibenarkan berpindah dari satu tapak pembinaan ke lokasi lain.

"KKR (Kementerian Kerja Raya) menggesa semua penggiat industri pembinaan untuk mematuhi SOP (prosedur operasi standard) terkini bagi mengawal penularan COVID-19," katanya sambil menambah perincian syarat dan jenis kerja yang dibenarkan dinyatakan dengan jelas dalam SOP Sektor Pembinaan yang boleh dimuat turun di laman sesawang www.cidb.gov.my.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS