Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Langgar SOP: Jemaah berselawat ketika ditahan polis

Tindakan sekumpulan penduduk menunaikan solat berjemaah di masjid tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintahan Kawalan Pergerakan (PKP) membawa padah apabila dikesan pihak polis.

Pada kejadian di sebuah masjid dan surau di Pasir Mas, Kelantan, kira-kira jam 9 malam Ahad lalu, seramai 37 individu dikenakan kompaun.

Difahamkan, pihak berkuasa bertindak sebaik jemaah berkenaan selesai menunaikan solat isyak berjemaah.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Nasaruddin Mohd Nasir berkata, dalam kejadian di sebuah masjid pihaknya mengambil tindakan kompaun terhadap 28 individu atas kesalahan tidak memakai pelitup muka.

Katanya, di lokasi sebuah surau pula seramai sembilan individu dikenakan kompaun kerana kesalahan sama.

"Kesemua mereka dalam lingkungan usia antara 20 hingga 70 tahun.

"Ada juga jemaah yang terdiri daripada kanak-kanak berusia antara lima hinggan 10 tahun, tetapi kita menggunakan budi bicara dan nasihat memandangkan mereka individu bawah umur, " katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, sebuah video tular di media sosial memaparkan sekumpulan individu ditahan dan dibawa menggunakan trak untuk tindakan lanjut.

Video berdurasi 22 saat itu juga memaparkan jemaah terbabit sedang berselawat ketika menaiki trak untuk di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Sementara itu Nasaruddin berkata, pihaknya menasihati orang ramai supaya akur dengan SOP yang ditetapkan kerajaan memandangkan penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Katanya, pihak polis tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati melanggar peraturan di bawah akta pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit 2021.

Semalam, Kelantan mencatat 695 kes positif Covid-19 dengan 7,869 kes aktif.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin pada Ahad lalu berkata, kes positif di Kelantan dijangka boleh mencecah 1,000 kes sehari mulai bulan depan, berikutan nisbah jangkitan wabak itu berbanding jumlah penduduk negeri ini yang sangat tinggi sekarang.

Katanya, selain nisbah jangkitan, kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh sambutan Aidilfitri lalu mula menunjukkan kesan apabila kes positif harian tinggi dicatat dalam tempoh beberapa lalu.

Lihat Komen
ADS