Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
ULASAN | Bila capai imuniti kelompok? Mungkin PM pun tak tahu

Salah satu cabaran terbesar dalam perang melawan wabak Covid-19 adalah bagaimana untuk mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan memendekkan tempoh 22 bulan program berkenaan kepada tujuh atau empat bulan bagi mencapai imuniti kelompok.

Beberapa hari lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, mengelak menjawab persoalan yang dibangkitkan saya berhubung bilakah Malaysia akan mencapai imuniti kelompok.

Saya merujuk laporan antarabangsa minggu lalu meramalkan jangka masa yang diperlukan untuk Malaysia mencapai imuniti kelompok dengan 75% daripada populasi diberikan suntikan adalah selama 22 bulan berdasarkan kadar vaksinasi terkini.

Ini bermakna kita akan mencapai imuniti kelompok pada Mac 2023, yang tersasar jauh daripada sasaran asal Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan iaitu pada Februari 2022, atau sasaran perdana menteri yang mengarahkan supaya program berkenaan diselesaikan menjelang hujung tahun ini.

Ini adalah contoh bagaimana Muhyiddin gagal mengembalikan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap kerajaan dalam mengendalikan Covid-19, kerana kerajaan sendiri tiada jawapan untuk soalan yang begitu penting - bila kita akan mencapai imuniti kelompok?

Pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di Malaysia memasuki hari kedua, tetapi apa yang dilakukan oleh Muhyiddin untuk mengatasi defisit kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap cara kerajaan menangani penularan wabak ini?

Malaysia kini bukan sahaja menewaskan Indonesia untuk 21 hari berturut dalam peningkatan kes baharu harian Covid-19 (semalam: Malaysia 7,105 kes, Indonesia 4,824 kes) tetapi Malaysia juga menewaskan Amerika Syarikat dalam peningkatan kes baharu harian Covid-19 pada Isnin 31 Mei 2021.

Pada 31 Mei, peningkatan kes baharu harian Covid-19 di Malaysia dan Amerika Syarikat masing-masing sebanyak 6,824 kes dan 5,235 kes.

Puncak peningkatan kes harian baharu Covid-19 di Amerika Syarikat adalah 304,951 kes pada 8 Januari. Peningkatan kes harian baharu Covid-19 di Amerika Syarikat pada 31 Mei 2021 menurun mendadak sebanyak 98.3% daripada puncaknya.

Berbeza di Malaysia, puncak peningkatan kes harian baharu Covid-19 adalah 5,728 kes pada 30 Januari. Namun untuk enam hari terakhir berturut-turut, peningkatan kes baharu harian Covid-19 meningkat melebihi puncak pada 30 Januari.

Kes global turun 40%, tapi M’sia tongkah arus

Ketua pengarah kesihatan baru-baru ini mengingatkan tentang peningkatan kes harian baharu yang mungkin boleh mencecah angka 13,000 bulan ini.

Peningkatan kes baharu Covid-19 di peringkat global menurun 40% daripada puncak 903,343 kes yang direkodkan pada 20 April kepada 360,232 kes pada 31 Mei. Namun Malaysia menongkah arus dengan menunjukkan trend peningkatan dan merekodkan puncak baharu.

Lambat laun, Malaysia akan menewaskan Amerika Syarikat dalam peningkatan kes baharu dan ini akan menjadi perkara biasa buat kita semua.

Saya meramalkan Amerika Syarikat, Singapura, Jerman dan Perancis akan mencapai imuniti kelompok empat bulan lagi. China pula dalam tempoh tiga bulan lagi sementara United Kingdom dalam tempoh dua bulan.

Tiada sebab Malaysia tidak boleh mempercepatkan program imunisasi kebangsaan bagi mencapai imuniti kelompok menjelang Hari Malaysia pada 16 September 2021.

Namun, Muhyiddin dan Khairy tidak mampu untuk mendedahkan bilakah Malaysia akan mencapai imuniti kelompok - sama ada 2021, 2022 atau 2023.

Ini perkara yang amat penting dan saya syak Muhyiddin dan Khairy sendiri tidak tahu tentang tarikh sasaran Malaysia akan mencapai imuniti kelompok.

Jika Malaysia mencapai imuniti kelompok pada separuh kedua tahun 2022 atau 2023, maka mereka yang menerima vaksin pada tahun ini tidak akan termasuk dalam golongan yang dilengkapi imuniti Covid-19, kecuali mereka diberikan suntikan booster lagi.

Ini perkara serius yang harus diberikan perhatian secepat mungkin oleh Muhyiddin dan Khairy. Mereka harus sedar program imunisasi bergerak terlalu perlahan dan menjadi kelemahan terhadap usaha kita untuk memerangi Covid-19.

Meskipun vaksin Covid-19 bukanlah penawar ajaib untuk mengakhiri pandemik, ia sememangnya mampu menjadi pengubah keadaan dalam medan peperangan melawan pandemik Covid-19.

Kerajaan kini mendakwa mereka mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi untuk semua rakyat Malaysia. Jika begitu, tidak ada sebab untuk kerajaan memonopoli pembelian vaksin dan terus menafikan permintaan sektor swasta untuk membeli sendiri vaksin Covid-19.


LIM KIT SIANG ialah ahli parlimen DAP Iskandar Puteri

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS