Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Masyarakat Rohingya K'tan minta UNHCR mudahkan urusan perbaharui kad pelarian

Masyarakat Rohingya di Kelantan kini berdepan masalah untuk melanjutkan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang sudah tamat tempoh, menyebabkan mereka sukar untuk mencari pendapatan.

Perkara itu dinyatakan Pengerusi Persatuan Masyarakat Rohingya Kelantan Kamal Hussin Sonali hari ini.

Selain masalah kewangan, Kamal berkata kesukaran itu juga disebabkan sekatan pergerakan yang berkuat kuasa, yang menyukarkan mereka untuk ke pejabat UNHCR di Kuala Lumpur untuk berbuat demikian.

Justeru, Kamal berkata mereka berharap agar UNHCR dapat menyediakan satu kemudahan di negeri itu, bagi memudahkan kira-kira 7,000 pelarian di sana untuk melanjutkan kad merea.

“Di negeri Kelantan terdapat lebih kurang 7,000 penduduk masyarakat Rohingya termasuk 3,000 lebih keluarga. Disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP), ramai yang hilang pekerjaan kerana kad UNHCR tamat tempoh.

“Ada yang sudah tamat enam bulan, ada yang tujuh bulan dan ada sudah sembilan bulan.

“Jadi, kalau boleh kami ingin memohon supaya pihak UNHCR menyediakan fasiliti seperti membuka pejabat supaya kami boleh sambung kad di sini,” katanya ketika ditemui Malaysiakini di Kota Bharu, baru-baru ini

Kesukaran mencari pendapatan itu diburukkan lagi dengan penularan wabak Covid-19 pada masa ini, kata Kamal.

“Jika kad masih sah, kita boleh buat kerja dengan mana-mana individu atas dasar budi bicara dan perikemanusiaan.

“Jadi apabila kad tamat tempoh, surat saringan Covid-19 daripada klinik pun tak boleh ambil, jadi kita tak boleh kerja dan tak boleh cari duit untuk makan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kamal juga meminta agar pihak UNHCR dapat menyediakan sekolah untuk kanak-kanak Rohingya belajar, seperti kanak-kanak lain.

"Kami tak boleh hantar anak-anak kami ke sekolah biasa sebab tiada kebenaran.

"Dapat belaja bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik dan perkara asas pun sudah memadai, supaya kanak-kanak ini tidak buta huruf," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS