mk-logo
Berita
'Vaksinkan juga tukang cuci, pak guard, tukang kebun'
Diterbitkan:  Jun 2, 2021 4:27 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) menyokong tuntutan supaya mengutamakan guru untuk mendapat vaksin.

Pun begitu, JPKK mengingatkan pihak berkuasa supaya tidak melupakan pekerja pembersihan, pengawal keselamatan dan tukang kebun sekolah.

"Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan manyambut baik tuntutan para guru di Sekolah untuk mengutamakan mereka dalam proses vaksinasi di Fasa 2.

"Pada masa yang, kami juga turut mengingatkan jangan lupakan pekerja kontrak di premis sekolah seperti pekerja pembersihan, pengawal keselamatan dan tukang kebun yang juga menjadi barisan hadapan di sekolah dan mereka juga harus diutamakan bersama-sama dengan para guru di sekolah dalam proses vaksinasi," kata penyelaras JPKK Danial Hakeem.

JPKK ialah kesatuan sekerja yang mewakili pekerja kontrak kerajaan dan berjuang untuk memastikan sektor itu dihargai sebagai barisan hadapan, khususnya pekerja pembersihan di hospital.

"Pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan sekolah yang diwakili JPKK, menggesa pihak kerajaan supaya mengambil serius pengorbanan mereka dalam perjuangan memulihkan negara dari wabak Covid-19.

"Banyak kluster Covid-19 telah tercetus di sekolah sebelum penutupan aktiviti tempoh persekolahan baru-baru ini.

"Murid-murid terdiri daripada kumpulan terdedah, dan boleh menjadi pembawa virus diantara sekolah dan rumah. 

"Pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan sebenarnya memainkan peranan penting dalam proses pembersihan premis sekolah; seperti pengurusan sisa buangan, sanitasi, dan penjagaan keselamatan; seperti penjarakan sosial dan pemeriksaan suhu guru, murid dan pelawat-pelawat lain," katanya.

Lantaran itu, JPKK mahu anggota kesatuan itu disenarai sebagai penerima vaksin secepat yang mungkin memandangkan terdapat kecenderungan "bahawa sumbangan mereka seperti tidak diendahkan oleh pihak pentadbiran sekolah," kata Danial.

"Kerajaan juga harus mempertimbangkan pemberian elaun khas barisan hadapan kepada golongan pekerja ini.

"Selain daripada pengutamaan vaksinasi, pekerja kontrak pembersihan dan pengawal keselamatan juga menuntut supaya keadaan mereka di sekolah dipantau oleh pihak berkuasa dengan segera semasa PKP ini.

"JPKK telah menerima pelbagai aduan mengenai salahlaku kontraktor yang tidak mematuhi undang-undang buruh di seluruh negara dimana ada segelintir kontraktor masih membuat potongan dalam gaji pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan sekolah semasa PKP walaupun ini adalah kontrak Kerajaan dan Kerajaan tidak membuat sebarang pemotongan gaji," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS