Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kerajaan persekutuan tidak memiliki lokus standi untuk menyaman bagi pihak Orang Asli Temiar dalam isu pertikaian tanah di Kelantan.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh hakim Lau Bee Lan sebulat suara membuat keputusan hari ini dengan membenarkan permohonan kerajaan Kelantan untuk membatalkan saman kerajaan persekutuan, yang berkaitan dakwaan pencerobohan tanah adat Temiar di Pos Simpor, Gua Musang.
"Kami tidak setuju dengan hujah bahawa kerajaan persekutuan mempunyai locus standi (hak di sisi undnag-undang) untuk menjadi plaintif dalam kes ini,"putus Lau.
Katanya, tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan kerajaan persekutuan mengambil tindakan undang-undang bagi pihak orang asli.
Bagaimanapun katanya, Orang Asli Temiar tidak dihalang untuk mengambil tindakan undang-undang secara bersendirian berhubung isu berkenaan (dengan menjadi plantif).
Pada 20 Ogos 2019, kerajaan Kelantan gagal mengetepikan saman kerajaan Persekutuan yang difailkan berhubung tanah adat masyarakat Orang Asli suku Temiar di Pos Simpor, Gua Musang.
Thomas berpendapat kerajaan Kelantan dan agensinya telah memberikan hak pembalakan di Gua Musang kepada syarikat swasta tanpa berunding dengan masyarakat Temiar atau menawarkan pampasan kepada mereka.
Hari ini ditetapkan untuk Mahkamah Rayuan, yang turut dianggotai hakim P Ravinthran dan Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan berhubung rayuan kerajaan Kelantan bagi membatalkan saman berkenaan.
Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan persekutuan sejak awal tahun 2020.
Ketika dihubungi selepas prosiding Mahkamah Rayuan yang berlangsung secara dalam talian melalui Zoom pagi ini, peguam mewakili kerajaan persekutuan Gurdial Singh Nijar berkata dia sedang menunggu arahan sama ada akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut atau sebaliknya.
"Kita tunggu arahan. Kami juga akan menunggu alasan (penghakiman) penuh oleh Mahkamah Rayuan, ”kata peguam itu.
Gurdial berkata, jika ada rayuan ke Mahkamah Persekutuan, maka penting untuk memfokuskan kepada isu-isu yang dibangkitkan mengenai lokus standi kerajaan persekutuan untuk bertindak bagi pihak masyarakat Orang Asli, sebagai sebahagian tanggungjawab fidisuari mereka kepada masyarakat.
Peguam Khoo Guan Huat mewakili kerajaan Kelantan, manakala peguam Elaine Gan menjadi pemerhati untuk Majlis Peguam semasa prosiding berlangsung.
Saman kerajaan persekutuan, yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, menamakan kerajaan Kelantan,Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan, pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan serta lima lagi entiti swasta.
Orang Asli Temiar menghalang pembalak selama bertahun-tahun dengan membuat sekatan, yang akhirnya dirobohkan oleh pegawai kerajaan negeri atau mereka yang bekerja dengan syarikat swasta.
