Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lagi isu MySejahtera: Janji temu pula lesap
Diterbitkan:  Jun 3, 2021 2:14 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Lagi aduan yang diterima mengenai aplikasi MySejahtera apabila beberapa pengguna mengadu janji temu untuk mendapatkan vaksin pada aplikasi tersebut hilang dalam tempoh semalaman.

Lebih memburukkan keadaan, sesetengah mereka juga mendapati janji temu tiada pada laman web rasmi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) apabila semakan dibuat.

Laman web tersebut membolehkan pengguna memeriksa status permohonan vaksin mereka, di mana mereka yang telah mendaftar dan menunggu janji temu boleh melihat proses permohonan berkenaan, manakala mereka yang telah menerima janji temu boleh melihat butiran janji temu di laman itu.

Individu lain yang berjaya menghubungi talian hotline diberitahu bahawa janji temu mereka tiada dalam sistem. 

Bagaimanapun, terdapat juga aduan bahawa sangat sukar menghubungi talian berkenaan, yang kebiasaannya dialihkan kepada mesej pesanan suara.

Salah seorang calon penerima vaksin yang menghadapi masalah ini adalah ibu saudara kepada peguam Syahredzan Johan, yang sebelum ini menghadapi masalah apabila ditawarkan temu janji di Subang Jaya, Selangor meskipun tinggal dan mendaftar menggunakan alamat di Johor.

Menerusi Twitter, Syahredzan berkata temu janji makciknya di Subang Jaya kemudian digantikan selepas aduan dibuat tetapi dengan pusat vaksin Selangor yang lain - kali ini di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid.

Dia berkata sepupu membuat keputusan untuk membawa ibu saudara mereka ke Selangor, meskipun sebelum ini berusaha memohon pusat vaksin yang lebih dekat.

Tetapi pagi ini, mereka mendapati janji temu di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid itu telah hilang daripada aplikasi MySejahtera.

"Bukan senang ye nak yakinkan warga emas untuk travel dengan short notice macam ni. Lagi pula kena tidur semalam di Selangor. 

"Bila sepupu saya dapat yakinkan, tapi tiba-tiba pagi ini temu janji tu dah lesap. Call hotline JKJAV, kata ‘tak ada dalam sistem’," ujarnya.

Syahredzan berkata pemberitahuan mengenai janji temu baru di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid itu diterima pada 2 Jun, justeru ia bukan disebabkan mereka tidak membuat pengesahan dalam tempoh 48 jam.

Sebelum ini, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklum janji temu perlu disahkan dalam tempoh 48 jam, atau ia akan diatur semula secara automatik.

"Oleh kerana frust dengan sistem bermasalah ini, sepupu saya ambil keputusan untuk batalkan pendaftaran, dan daftarkan dengan seorang lagi sepupu yang duduk di Johor.

"Kenapa susah sangat nak bagi vaksin kat rakyat? Kenapa rakyat kena jadi macam pengemis?

"Tolonglah. Tolong perbaiki sistem ini. Kes mak sedara saya ni bukan kes terpencil. Ramai yang ada pengalaman sama. Dan yang paling sedih, warga emas," katanya.

 'Mak dah teruja'

Individu lain membalas tweet Syahredzan dengan mengatakan perkara yang sama berlaku kepada ibu bapa mereka.

"Mak saya pun sama. Check (periksa) pagi semalam ada tarikh temu janji esok petang. Pagi ni saja nak check lagi. Hilang dah. Gosok mata banyak kali kot salah tengok ke.

"Memang tak ada. Mak macam frust (kecewa) pun ada sebab semalam dah excited (teruja) bila dapat slot," kata pengguna Twitter Sapura Mahmood.

Seorang lagi pengguna berkata ibu mentuanya menerima pemberitahuan bahawa janji temunya akan diadakan esok di pusat vaksin di Gombak, Selangor tetapi temujanji itu lesap pagi ini.

"Suami saya dapat call dari call centre vaksin ni dan dia orang cakap those yang dah dapat date semalam kebanyakannya sistem cancel, MySejahtera ada problem sikit.

"Ibu mentua saya dah semangat nak vaksin tau. Bukan senang nak yakinkan dia untuk vaksin ni !" kata pengguna @ bamushi853.

 Isu yang melanda MySejahtera

Janji temu yang lesap bukan satu-satunya masalah yang dihadapi pengguna MySejahtera hari ini.

Masalah lain yang dihadapi termasuk aplikasi berkenaan membeku (freezing) dan ketika pengguna memasang (install) semula, pelbagai butiran hilang.

Ini termasuk keputusan ujian calitan yang diambil sebelum ini, menurut beberapa pengguna media sosial.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Khairy Jamaluddin, menteri yang bertanggungjawab bagi program vaksin untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu yang dihadapi pengguna MySejahtera.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS