Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kakitangan UIAM didakwa terima rasuah RM32,000

Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Mohd Hakimi Mohd Badrol Afandi sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah berkaitan baucar bayaran universiti itu.

Bagaimanapun, Mohd Hakimi, 44, yang berdepan empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM32,000, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohd Khalid di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Mengikut pertuduhan, Mohd Hakimi sebagai ejen UIAM didakwa menerima wang tunai itu daripada Ahmad Shukri Abdul Ghani, yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya, sebagai dorongan untuk membantu memudahkan urusan tiga syarikat mendapatkan kerja-kerja berkaitan baucar bayaran antaranya ‘The Modification Works of IIUM Gallery and Official Launching by IIUM President’ dan ‘Printing Packages of IIUM Corporate Collateral (Executive Diaries, Notebooks and Planners) for 2015.’

Dia juga mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pilihan menerima wang tunai itu, yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya, tanpa sebarang balasan daripada individu sama yang mempunyai hubungan dengan tugas rasmi tertuduh berkaitan baucar serupa.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Jalan Gombak, Jalan Meranti dan Setapak di Kuala Lumpur antara 13 Nov 2014 hingga 30 Mac 2015.

Mohd Hakimi didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa daripada SPRM Mohd Aliff Shaharuzaman memohon mahkamah mengguna pakai jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin yang sebelum ini dikenakan ke atas Mohd Hakimi oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 27 Mei.

“Saya juga memohon agar kesemua kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama dengan kes yang dihadapi tertuduh di sana kerana ia melibatkan transaksi sama,” katanya.

Pada prosiding hari ini, tertuduh tidak diwakili peguam.

Emelia Kaswati membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan 29 Jun untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Pada 27 Mei lepas, Mohd Hakimi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan menerima suapan RM5,000 dan satu pertuduhan pilihan menerima wang tunai sama tanpa sebarang balasan daripada Ahmad Shukri berkaitan baucar bayaran UIAM.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS