Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Empat pelajar di Ketereh, Kelantan, yang dilaporkan mengalami kesukaran mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kerana ketiadaan peranti dan capaian internet - kini boleh menarik nafas lega.

Ia selepas beberapa wakil rakyat tampil menghulurkan sumbungan berupa komputer riba dan tablet.

Sumbangan lapotop pertama diterima Anis Natasha Junoh, 17, daripada Anggota Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, petang tadi.

Sumbangan itu diusahakan Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan, yang meminta Sim membantu pelajar tersebut.

Menurut Hazmi, pihaknya diwakili bekas ketua Pemuda Amanah Ketereh, Asri Mohd Zain menyampaikan peranti tersebut kepada Anis Natasha.

"Alhamdulillah dengan bantuan anggota Parlimen Bukit Mertajam kita dapat membantu pelajar ini untuk kemudahannya menghadapi sesi PdPR selepas sesi persekolahan kembali dibuka dan kegunaan di masa akan datang," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Anis Natasha dan tiga pelajar lain amat memerlukan kemudahan peranti dan capaian internet untuk mengikuti PdPR.

Anis Natasha mencerikatan bagaimana sebelum ini dia terpaksa ke rumah kawan sekelasnya - yang terletak kira-kira 6km dari rumahnya - hanya untuk meminjam komputer riba dan mendapat capaian internet yang selesa.

Jarak yang perlu ditempuh pelajar yatim piatu berusia 17 tahun itu setiap kali mahu meminjam komputer riba ialah kira-kira 12km.

Sementara itu, Anis Natasha berkata dia bersyukur dan berterima kasih kerana ada pihak yang sudi membantunya ketika kemudahan itu sangat diperlukannya.

"Bantuan ini sangat bermakna bagi saya sebab nanti saya akan gunakan untuk belajar. Jadi, dengan laptop ini, saya tak perlu ke rumah kawan lagi.

"Cita-cita saya ingin menjadi pereka grafik atau pereka fesyen. Selain untuk PdPR, dengan adanya laptop ini, saya boleh belajar cara gunakan laptop untuk belajar bidang rekaan. Terima kasih sekali lagi kepada pemberi dan saya akan gunakan ia dengan sebaik mungkin untuk selasaikan tugasan PdPR yang memerlukan kemudahan laptop ini," katanya.

Sementara itu sumbangan sama turut diusahakan Anggota Dewan Undangan Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, yang akan memberikan sumbangan kepada tiga lagi pelajar lain iaitu Ammy Nazira, 16, Shamimi Syafiqah Rosli, 15, dan Anis Arini Asri, 20, pada Sabtu ini.

Dalam perkembangan sama Pertubuhan Kebajikan Dana Insan Malaysia turut menyatakan hasrat meringankan bebanan tersebut dengan bantuan yang perlu, termasuk sumbangan RM5,000 bagi setiap pelajar terbabit.

Selain itu Anggota Parlimen Ketereh Annuar Musa pula, akan menyampaikan sumbangan tablet kepada pelajar berkenaan. 

Lihat Komen
ADS