mk-logo
Berita
Polis tutup kedai arak - sektor tak perlu, kata OCPD Bricksfields
Diterbitkan:  Jun 4, 2021 10:11 AM
Dikemaskini: 4:10 AM

Polis Brickfields telah menutup sebuah kedai arak - yang menurutnya bukan perkhidmatan perlu.

Terdapat juga laporan polis didakwa mengarahkan pasar raya besar untuk menutup bahagian alkoholnya, yang dipertikaikan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim.

Pada satu kenyataan pagi ini, Ketua Polis Daerah Brickfields Anuar Omar berkata, para pegawaiya semalam telah melakukan pemeriksaan di sebuah kedai minuman keras.

Ini berikutan aduan mengenai perniagaan itu yang mendapat kelulusan beroperasi sebagai kedai makan dan minuman.

Kedai itu dipercayai terletak di Bangsar.

"Hasil pemeriksaan ke atas premis tersebt didapati ianya hanya menjual minuman keras semata-mata sahaja yang dianggap sebagai bukan barangan keperluan.

"Pihak Polis telah mengambil tindakan dengan memberi nasihat dan mengarahkan premis tersebut ditutup.

"Ekoran daripada itu, pihak premis akur dan telah mengambil tindakan sepertimana yang telah diarahkan.

"Justeru itu, diingatkan kepada semua perniaga supaya tidak menyalahgunakan surat kelulusan daripada MITI dengan sewenang-wenangnya," kata Anuar.

Sementara itu, terdapat dakwaan dua pasar raya di daerah polisi Brickfields juga diberitahu untuk berhenti menjual alkohol

Malaysiakini telah menghubungi Anuar untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

Bercakap kepada FMT malam tadi, ketua polis Brickfields memetik SOP Majlis Keselamatan Negara bahawa "semua kedai yang menjual minuman beralkohol mesti ditutup segera, seperti kilang Carlsberg".

"Arak tidak dianggap minuman perlu. Tiada keperluan untuk mensensasikan perkara ini kerana ia perintah kerajaan untuk membantu mengekang penularan Covid-19,” jelasnya.

MKN pada Selasa mengarahkan kilang minuman beralkohol ditutup kerana tidak penting, tetapi tidak disebutkan sama ada peraturan ini juga berkuat kuasa terhadap kedai minuman keras atau bahagian minuman keras di pasar raya.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi menafikan pasar raya besar dan kedai serbaneka perlu berhenti menjual alkohol.

"Tidak ada (arahan agar mereka berhenti menjual alkohol). Contohnya 7-11 (masih dibenarkan beroperasi)," katanya kepada Malaysiakini.

Demikian juga, The Vibes memetik Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata penjualan alkohol dibenarkan, manakala Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani mengambil maklum tiada perintah untuk menghentikan kedai serbaneka daripada menjual minuman beralkohol.

Ini bukan kali pertama terdapat kekeliruan mengenai SOP mengenai penjualan alkohol.

Sebelum ini pada bulan Februari, polis mengarahkan restoran berhenti menjual alkohol, bertentangan dengan arahan daripada Ismail Sabri.

Lihat Komen
ADS