Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak kemas kini MySejahtera bukan kesalahan, kompaun dibatalkan

Tidak mengemas kini aplikasi MySejahtera bukan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), dan tidak perlu dikompaun, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu beliau berkata, kompaun yang telah dikeluarkan oleh mana-mana penguatkuasa atas kesalahan tersebut, perlu dibatalkan.

“Pegawai penguatkuasa juga disarankan supaya tidak salah dalam membuat sebarang tafsiran berhubung SOP (prosedur operasi standard), yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Sabtu lalu, dilaporkan seramai 29 pekerja syarikat minyak dan gas dilapor dikompaun RM2,000 setiap orang, manakala dua pekerja kilang memproses ayam dikenakan RM1,500 setiap orang, kerana tidak mengemas kini status kesihatan di aplikasi MySejahtera, ketika memasuki tempat kerja.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid kemudian dipetik sebagai berkata, kompaun tersebut akan dibatalkan.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata, walaupun perkara tersebut tidak menjadi kesalahan di bawah Akta 342, rakyat perlu berintegriti dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap aplikasi tersebut.

Ini kerana beliau berkata, MySejahtera merupakan aplikasi dibangunkan kerajaan bagi membantu pengawasan penularan wabak Covid-19 di dalam negara, dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

“Justeru, aplikasi ini bukan hanya untuk mengimbas sekiranya memasuki sesuatu tempat, tetapi lebih penting adalah melakukan kemas kini setiap hari, malah setiap masa sekiranya perlu bergantung kepada pergerakan serta aktiviti kita pada hari terbabit.

“Sebagai rakyat kita bukan hanya perlu jujur dalam memberikan maklumat berkaitan diri kita, tetapi juga memegang amanah untuk memastikan setiap maklumat diberikan adalah tepat dan benar,” katanya.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, syarikat atau kilang yang melanggar SOP antaranya dengan beroperasi lebih masa dan ingkar arahan bekerja dari rumah, kompaun hanya dikenakan kepada majikan dan bukan pekerja.

“Jika ia berlaku, maka tindakan penguatkuasaan perlulah dibuat kepada majikan atau syarikat, kerana kesalahan bukan dilakukan pekerja kerana mereka terpaksa akur arahan majikan. Maka tindakan kompaun boleh dikeluarkan kepada pihak syarikat, kilang atau majikan, yang memberikan arahan,” katanya.

Menurutnya sejak 1 Jun sehingga kini, sebanyak 41 kompaun telah dikeluarkan ke atas premis perniagaan yang gagal mematuhi SOP PKP 3.0.

Sementara itu katanya, beberapa lokaliti di Sabah akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 9 sehingga 22 Jun ini, iaitu di Taman Perdana, Lahad Datu; Kampung Narandang, Kudat dan Kampung Tanjung Batu Darat, Taman Apas Permai, Bandar Sri Indah, Taman Megah Jaya serta Jalan Budi, Sri Tanjung di Tawau.

Turut dikenakan PKPD ialah Politeknik Sultan Azlan Shah, Muallim, Perak untuk tempoh sama.

Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa PKPD di Taman Seri Ketiau dan Taman Desa Seri Ketiau di Putatan; Kampung Sungai Imam, Tawau, Sabah serta di tiga mukim di Lipis, Pahang, akan ditamatkan esok seperti dijadualkan.

Manakala PKPD Bandar Triang, Bera, Pahang yang dijadualkan tamat 11 Jun, turut ditamatkan esok.

- Bernama

Lihat Komen
ADS