Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peka mahu Pahang batal kelulusan projek perlombongan dekat Tasik Chini
Diterbitkan:  Jun 8, 2021 10:29 AM
Dikemaskini: 2:29 AM

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) menyeru Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail membatalkan lesen kegiatan pelombongan berhampiran Tasik Chini.

Menurut Presiden Peka Shariffa Sabrina Syed Akil kerajaan Pahang akan berdepan dengan kesan buruk jangka panjang dan bencana alam akibat kegiatan tersebut.

"Peka membantah keras kelulusan yang telah diberikan kerajaan Pahang untuk projek yang terletak hanya 3km dari Tasik Chini, yang merupakan kawasan alam sekitar rentan.

"Kerajaan Pahang akan menanggung kerugian dan perlu berbelanja lebih banyak untuk memperbaiki infrastruktur yang rosak serta membantu orang ramai yang terjejas, yang mungkin kehilangan rumah bahkan nyawa mereka," katanya.

Pada 3 Jun lalu Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai kelulusan diberi Pahang kepada sebuah syarikat yang ada kaitan dengan keluarga diraja ketika kerajaan negeri menyatakan rancangan untuk memulihkan keadaan di kawasan tersebut.

Tapak perlombongan baru itu terletak hanya kira-kira 3km dari Tasik Chini. Untuk rekod ia merupakan tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia dan menjadi kawasan tapak rizab biosfera Unesco yang bergelut dengan masalah pencemaran akibat perlombongan dan pembalakan sejak beberapa tahun lalu.

Menurut dokumen penilaian impak alam sekitar (EIA) yang dibuka kepada umum pada April lalu, projek itu meliputi 40.51 hektar - bersamaan kira-kira 60 padang bola sepak - di Lot 89798 di Mukim Penyor.

Dokumen itu juga menunjukkan beberapa konsesi perlombongan yang sedia ada di kawasan itu, dengan kebanyakannya terletak lebih dekat dengan Tasik Chini

Kata Shariffa Sabrina kawasan hutan simpan sepatutnya dibangunkan sebagai kawasan ekopelancongan atau agropelancongan keran aia dapat mengekalkan kestabilan ekosistem dan kawasan tadahan air di situ.

"Tasik Chini perlu dilindungi dan semua kegiatan pembalakan serta perlombongan mesti dihentikan supaya biospefa di situ dikekalkan serta keadaan pulau-pulau di tasir tersebut boleh diperbaiki," katanya.

Dia juga memberitahu Orang Asli yang menetap di kawasan itu bergantung kepada Tasik Chini sebagai sumber pendapatan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS