mk-logo
Berita
'Saya cuma nak jawapan' - wanita rakam MB Kedah di kedai kereta beri penjelasan
Diterbitkan:  Jun 8, 2021 8:45 PM
Dikemaskini: 1:55 PM

Wanita yang membuat dakwaan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor melanggar prosedur operasi standard (SOP) sekatan pergerakan penuh baru-baru ini tampil memberi penjelasan.

Menceritakan pengalamannya, pemilik akaun Facebook bernama Nini Siron itu berkata, dia hanya menjalankan tanggungjawabnya.

"Pada masa kejadian, saya telefon balai untuk maklum saya nampak perkara itu (berlaku) dan polis alu-alukan saya buat laporan.

"Tujuan saya buat posting pada hari berkenaan, tidak lain tidak bukan hanyalah nak kan jawapan. Tolong letak tepi siapa mereka (yang terlibat)," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

"Saya mempertikai kesalahan SOP, itu sahaja. Ini boleh dijadikan teladan umum...Bagi yang kurang jelas, sila rujuk SOP untuk sektor automotif di bawah (kategori) pusat pengedaran kereta," katanya lagi, sambil menjelaskan dia berada di kawasan itu - yang menurutnya terletak kira-kira 9 kilometer dari rumahnya - untuk membeli barang keperluan di sebuah kedai di situ.

Terdahulu, Nini mendakwa Sanusi berada di pusat jualan kereta dan membuat pandu uji, selain berlaku pelanggaran SOP termasuk menaiki kenderaan dengan tiga penumpang.

Hantaran itu kemudian dipadam setelah tular di media sosial.

Bagaimanapun, setiausaha politik Sanusi, Afnan Hamimi Taib Azamuddin menafikan berlakunya pelanggaran SOP dan berkata Sanusi hanya melihat kenderaan di situ dan tiada pandu uji berlaku.

Utusan Malaysia melaporkan Sanusi memberi keterangan kepada pihak polis semalam.

Laporan itu juga memetik Sanusi sebagai berkata, dia tidak memandu uji kenderaan tersebut, sebaliknya ia dipandu oleh penjual di situ.

Dia juga berkata duduk di kerusi penumpang manakala pengawal pengiringnya duduk di bahagian belakang, yang merupakan prosedur biasa keselamatan.

'Walaupun dikecam...'

Nini berkata dia menerima tekanan yang cukup hebat di media sosial selepas membuat hantaran tersebut dan membuat keputusan untuk membataskan akses ke laman Facebooknya (private).

"Tidak dinafikan, tekanan yang saya terima pada masa sekarang amatlah mengganggu. Tak cukup dengan saya, suami, anak dan semua adik kakak saya dikecam, dihina, digertak dan ditertawa. Apa salah kami?

"Saya hanyalah seorang rakyat marhaen yang menyambut saranan kerajaan. Saya bukan orang politik.

"Kalau bukan MB Kedah pun, saya tetap akan bawa kesalahan ini ke pihak berkuasa. Sebab tu saya tegur jurujual tu," katanya lagi.

Pada masa sama, dia berkata tidak akan berganjak daripada pendiriannya dan menyerahkan perkara itu kepada pihak polis.

Dia juga menyuarakan penghargaan kepada orang ramai yang memberi sokongan kepadanya.

"Di sebalik kecaman, ugutan, tekanan...syukur masih ramai rakyat dari berbilang bangsa yang menyokong. Pada mulanya saya kecewa, saya bersuara untuk kita semua tapi dilayan dengan caci maki.

"Kekecewaan saya terubat dengan sokongan yang saya dapat. (Mereka) mesej untuk nyatakan sokongan, yang tolong berbalas di ruangan komen...Saya puji semangat kalian.

"Semoga keadilan dapat ditegakkan bukan untuk saya tapi untuk rakyat yang mahukan tiada lagi double standard," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS