Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar ekonomi atau sosial sesebuah negara tidak boleh dibuat atas dasar perkauman, sebaliknya mesti berdasarkan keadilan untuk semua.

Berdasarkan prinsip itu beliau mengingatkan rakyat negara ini jangan terperangkap dengan kenyataan Lee Kuan Yew atau reaksi dari para pemimpin negara ini terhadap kata-kata bekas Perdana Menteri Singapura itu.

"Komen Kuan Yew dan reaksi pemimpin negara ini berbaur perkauman. Kita tidak boleh terperangkap dalam permainan mereka ini.

"Tidak guna bercakap tentang ekonomi atau pembangunan kalau pada masa sama kita mengenepikan prinsip keadilan," tegasnya ketika berucap selepas majlis berbuka puasa, solat isyak dan solat sunat tarawikh di rumahnya di Bukit Damansara semalam.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sudah 49 tahun berlalu, oleh itu masyarakat negara ini tidak boleh lagi terperangkap dengan kerangka lama kerana yang akan terus menjadi mangsa adalah rakyat.

Anwar mengulas kenyataan Menteri Mentor Singapura itu baru-baru ini yang mendakwa orang Cina negara ini dipinggirkan secara sistematik dan reaksi para pemimpin kerajaan yang menafikan dakwaan Kuan Yew itu.

Anwar melahirkan kekesalannya kerana semua sokongan dan bantahan terhadap komen Kuan Yew itu dibuat berdasarkan kepentingan kaum masing-masing, bukannya atas prinsip keadilan.

DEB membebankan

Menurut Anwar, kenyataan Kuan Yew itu menggambarkan sifat dirinya yang sebenar.

"Jelas sekali Kuan Yew hanya seorang pemimpin Cina, bukannya negarawan Cina. Dia tidak kisah orang Melayu dan India yang terpinggir. Di Indonesia ada 44 juta rakyat yang merempat tetapi Lee tidak ambil peduli," katanya lagi.

Anwar juga mendakwa, Dasar Ekonomi Baru (DEB) bukan sahaja gagal menyelesaikan masalah orang Melayu malah turut membebankan kaum-kaum lain.

"DEB hanya menguntungkan beberapa kerat orang Melayu, Cina dan India yang menjadi kroni pemerintah. Majoriti rakyat tidak merasa faedahnya," ujar beliau.

Kerana itu katanya, agenda ekonomi yang diperjuangkan oleh PKR akan mengenepikan semua elemen perkauman dan tidak akan meminggirkan sesiapa.

"Apa yang kita akan buat berdasarkan prinsip keadilan untuk semua. Saya berjanji kita tidak akan mengkhianati amanah," katanya.

Katanya lagi, kontrak sosial yang ada akan ditunaikan dengan memastikan semua kaum menekmati keuntungan dan kemakmuran.