mk-logo
Berita
EIA: Projek lombong di Gua Musang ancam habitat 105 haiwan dilindungi

Projek perlombongan yang dicadangkan di Gua Musang, Kelantan menimbulkan ancaman terhadap habitat 105 spesies haiwan dilindungi dan dilindungi sepenuhnya, termasuk tapir dan gajah Asia yang terancam.

Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk projek yang terletak berhampiran Sungai Lebir itu juga menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan pencemaran air dan kesannya terhadap masyarakat setempat.

Projek untuk perlombongan bijih mangan diterajui oleh syarikat Nadi KW Sdn Bhd, cabang perlombongan NadiCorp Holdings Bhd.

Pada 2019, syarikat ini diberi pajakan perlombongan selama lima tahun yang berkuat kuasa sehingga Mac 2023.

NGO Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyuarakan kebimbangan mengenai projek itu pada satu kenyataan semalam.

Maklum balas orang ramai untuk projek itu akan ditutup pada Selasa depan (15 Jun).

Menurut laporan EIA, projek ini seluas 202.37 hektar, bersamaan keluasan 246 padang bola.

Bagaimanapun, EIA menyatakan kawasan seluas 117.32 hektar tanah telah dibersihkan antaranya untuk kawasan pemprosesan, gudang, tapak pejabat dan laluan angkut dalaman. 

Dikatakan Nadi KW telah melakukan kerja-kerja pembukaan kawasan lombong dari bulan Jun hingga Ogos 2019.

SAM mendakwa pembukaan tanah itu melanggar Seksyen 34 (A) (6) Akta Kualiti Alam Sekeliling, yang menyatakan bahawa tidak ada aktiviti yang ditetapkan tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan dari Jabatan Alam Sekitar (JAS).

EIA berkenaan menyatakan kemungkinan kesan pembukaan tanah untuk projek tersebut adalah kehilangan habitat untuk haiwan, dan "kesan tidak dapat dipulihkan" terhadap mamalia, reptilia dan amfibi yang bergerak perlahan.

Sebenarnya, tidak ada langkah-langkah mitigasi mutlak yang dapat menghilangkan kemungkinan kesan ini terhadap hidupan liar setempat, tulis laporan itu.

EIA itu juga mengatakan kebimbangan mengenai pemburuan haram hidupan liar dan kegiatan menjerat burung secara haram.

Terdapat juga risiko binatang yang dihalau kerana kehilangan habitat boleh mengganggu kebun di kampung berdekatan, sehingga meningkatkan kemungkinan konflik manusia-hidupan liar, kata laporan EIA.

NGO alam sekitar SAM turut menyatakan kebimbangan yang serupa.

Menurut EIA, “tapak projek adalah habitat hidupan liar, dan cadangan melombong adalah pencerobohan kepada habitat semula jadi hidupan liar.”

Kawasan kajian EIA itu menjadi kediaman hidupan liar seperti gajah Asia, harimau dahan (clouded leopard), memerang cakar kecil (small clawed otters), lotong bercelak (dusky langur), beruang matahari dan tapir,.

Kebanyakan haiwan ini dikategorikan sebagai hampir pupus, terjejas dan haiwan liar terancam bawah Buku Data Merah 2020 Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

Kumpulan hidupan liar terbesar yang terkena bencana adalah burung, di mana terdapat 97 spesies di kawasan itu - termasuk kuang besar yang hampir pupus, burung enggang badak, burung rimba murai coklat dan burung daun hijau yang kurang (Chloropsis cyanopogon).

Kebanyakan spesies burung yang direkodkan dalam kawasan kajian dilindungi sepenuhnya atau dilindungi oleh Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

EIA berkenaan ada membuat cadangan untuk mengurangkan mudarat terhadap hidupan liar.

Ini termasuk mempunyai rancangan pengurusan hidupan liar dan pasukan pemantauan bawah pengawasan Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Ia juga menyarankan supaya pekerja di lokasi perlombongan mendapat pendidikan tentang pentingnya pemuliharaan hidupan liar dan hukuman undang-undang terhadap kegiatan pemburuan haram.

Terdapat juga syor dalam EIA itu untuk membuat pagar bagi mencegah akses ke kawasan hidupan liar.

Risiko kekerapan banjir di hilir

Sementara itu, SAM mendakwa hasil pemodelan air dalam laporan EIA itu menunjukkan kebimbangan serius mengenai pencemaran air, walaupun dengan langkah mitigasi yang dicadangkan.

"Banyak parameter, terutama sekali logam berat akan melebihi paras asal (baseline) dan diklasifikasikan sebagai kelas V, paras paling tercemar apabila operasi perlombongan bermula.

"Ini amat serius terutamanya kerana Loji Rawatan Air Lebir terletak hanya 1km hilir sungai daripada tapak projek. 

"Lanjutan daripada ini, kejadian banjir baru-baru ini di kawasan hilir Sungai Kelantan meningkatkan lagi kebimbangan mengenai isu pencemaran air," kata Presiden SAM Meenakshi Raman pada satu kenyataan malam tadi.

"Sementara projek yang dicadangkan mungkin tidak terjejas oleh banjir, projek itu berpotensi meningkatkan kekerapan berlakunya kejadian banjir kilat di kawasan hilir sungai, sepertimana yang disahkan oleh EIA.

"Saliran asid dari lombong yang dihasilkan daripada industri lombong juga menjadi satu lagi kebimbangan yang serius," dakwanya lagi.

Melihat kesan negatif, SAM mendesak JAS untuk tidak meluluskan laporan EIA itu.

Mereka juga meminta pihak berkuasa untuk mengarahkan syarikat projek lombong itu untuk memulihkan kawasan hutan yang telah ditebang.

"Penggerak projek perlu diarahkan supaya memulihkan semula kawasan yang telah dibersihkan dan tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang memulakan projek sebelum memperoleh kelulusan.

"Kerajaan negeri Kelantan perlu mengambil tahu isu sosial dan alam sekitar yang berlaku akibat projek perlombongan terbuka di seluruh dunia dan daripada pengalaman tempatan sebelum ini.

"Kami menggesa kerajaan negeri Kelantan dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia untuk tidak membenarkan operasi perlombongan ini diteruskan," kata SAM lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS